Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penipuan umrah: dua wanita ditahan


Tarikh kemaskini: 06/07/2019





KUANTAN, 6 Julai (Bernama) -- Polis Pahang menahan dua wanita bagi membantu siasatan kes penipuan umrah yang dipercayai aktif di beberapa daerah sekitar negeri ini. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata suspek berusia 60 dan 50 tahun itu masing-masing ditahan di Sentul dan Setapak, Kuala Lumpur pada petang Khamis lalu. 

Katanya, kedua-dua suspek merupakan pemilik akaun bank yang digunakan dalam penipuan pakej umrah murah berharga RM2,200 seorang dan mendakwa bayaran selebihnya ditanggung penaja berpangkat 'Datuk'. 

"Suspek juga dipercayai terlibat menipu 19 mangsa dari Temerloh yang menyebabkan kerugian berjumlah RM41,800 bagi pakej menunaikan umrah sekitar November 2018 selepas memberi alasan penerbangan ditunda.

"Mereka juga dipercayai gagal memulangkan wang peserta pakej walaupun memberi jaminan wang akan dikembalikan kepada peserta yang membatalkan perjalanan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Mohd Wazir berkata suspek juga dipercayai terlibat dalam penipuan umrah di Jerantut, Bentong dan Cameron Highlands. 

"Polis memperoleh perintah tahanan reman ke atas suspek dari Mahkamah Majistret Temerloh pada Jumaat sehingga esok dan dijangka akan membuat permohonan reman baharu selepas itu," katanya. 

Mohd Wazir berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel