Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sarawak belum beri maklum balas tawaran pinjaman RM1 billion - Kementerian Kewangan


Tarikh kemaskini: 06/07/2019





KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri Sarawak sehingga kini masih lagi belum memberikan sebarang maklumbalas kepada Kerajaan Persekutuan berhubung tawaran pinjaman RM1 bilion yang diperuntukan untuk projek membaik pulih sekolah daif di negeri itu.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini berkata pendirian Kerajaan Persekutuan berhubung kaedah pelaksanaan membaik pulih sekolah daif di Sarawak dengan menetapkan empat mekanisme perundangan, telahpun dijelaskan kepada kerajaan negeri Sarawak semasa mesyuarat di kementerian itu pada 11  Mac lalu diikuti dengan surat bertarikh 20 Mac lepas.

”Secara dasarnya Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk menerima sebahagian daripada bayaran balik pinjaman hutang kerajaan negeri Sarawak sebanyak RM1 billion untuk diperuntukkan bagi membaikpulih sekolah daif yang berada di negeri itu.

“…ia tertakluk kepada empat mekanisme perundangan yang ditetapkan. Pada masa yang sama kerajaan negeri Sarawak masih lagi berhutang dengan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM2,375 juta dan sekiranya RM1 billion dibayar balik, maka kerajaan negeri Sarawak masih berhutang sebanyak RM1,375 juta,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Kewangan turut menjelaskan bahawa ?cadangan kerajaan negeri Sarawak menggunakan bayaran balik pinjaman untuk membaiki sekolah daif itu, sebenarnya melibatkan wang pendahuluan Kerajaan Persekutuan kerana menggunakan dana yang dipinjamkan kepada kerajaan negeri Sarawak sebelum ini.

Menurut kenyataan itu jika disifatkan sebagai bayaran balik pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan, ia bermaksud dana RM1 bilion tersebut sebenarnya merupakan wang milik Kerajaan Persekutuan sendiri, yang digunakan untuk membaik pulih sekolah daif di Sarawak.

Kementerian itu turut menjelaskan terdapat empat mekanisme yang perundangan yang telah ditetapkan iaitu pertama kerajaan negeri Sarawak hendaklah membayar balik sehingga RM1 billion daripada jumlah hutangnya kepada Kerajaan Persekutuan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan. 

Langkah ini selaras dengan penetapan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Kedua, Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan jumlah sama seperti yang dibayar balik oleh kerajaan negeri sebagai peruntukan untuk digunakan bagi projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak.

Ketiga, kerja membaik pulih sekolah daif di Sarawak hendaklah ditawarkan secara tender terbuka, bagi memastikan ketelusan dan nilai berpatutan berdasarkan tatacara kewangan Kerajaan Persekutuan semasa.

Keempat, Kerajaan Persekutuan bersedia mengambil kira keutamaan kerajaan negeri Sarawak dalam menentukan sekolah daif untuk dibaik pulih.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Henry Golding tersenarai dalam Time 100 Next

 
     

Produk plastik satu daripada industri paling rancak di Malaysia - Dr Ong

 
     

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel