Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Serangan gajah liar mencemaskan satu keluarga di Kluang


Tarikh kemaskini: 06/07/2019





KLUANG, 6 Julai (Bernama) -- Sebuah keluarga di Kampung Sri Timur, di sini, berdepan detik cemas apabila kediaman mereka diserang dua ekor gajah, awal hari ini.

Afian Kamin, 36, berkata kejadian pada 1 pagi itu mengakibatkan kerosakan pada garaj kereta selain bahagian bumbung kereta Proton Saga FLX miliknya kemek akibat runtuhan garaj tersebut selepas dipijak mamalia berkenaan.

Menurut Afian, ketika kejadian dia dan ahli keluarganya sedang tidur, namun, terjaga apabila terdengar bunyi bising di luar rumahnya dan bunyi seperti zink dipijak.

“Saya bergegas bangun untuk melihat kejadian sebenar dan amat terkejut bercampur ketakutan apabila mendapati dua ekor gajah betul-betul berada di hadapan rumah.

“Saya hanya mampu memerhatikan garaj kereta roboh dan pada masa sama, isteri, ibu mentua serta dua anak turut terjaga,” katanya yang dihubungi hari ini.

Afian berkata dia sekeluarga hanya mampu berdoa supaya selamat dari serangan itu dan kedua-dua haiwan berkenaan kemudian beredar selepas kira-kira sejam setengah berada di halaman rumah serta merosakkan beberapa tanaman seperti pokok kelapa, pokok pisang dan kelapa sawit.

“Sejak 12 tahun tinggal di rumah berkenaan, inilah kali pertama gajah menyerang kediaman kami. Sebelum ini saya hanya mendengar dan melihat rumah jiran-jiran sahaja diserang gajah.

“Saya dan penduduk kampung sekitar kawasan ini, kini semakin bimbang apabila akhir-akhir ini gajah berkenaan berani memasuki kampung, berbanding sebelum ini hanya berada di kawasan kebun sahaja,” katanya yang turut membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri Johor Salman Saaban ketika dihubungi berkata pihaknya akan melakukan siasatan terperinci dan akan mengarahkan Jabatan Perhilitan Daerah Kluang untuk ke lokasi bagi memantau serta mengawal keadaan di situ.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel