Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Rajagobal berang dengan persembahan anak buahnya


Tarikh kemaskini: 06/07/2019





SHAH ALAM, 6 Julai (Bernama) -- Ketua Jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagobal sangat kecewa dengan prestasi skuad Red Ants selepas mereka mengalami kekalahan 1-2 menentang Terengganu FC (TFC) dalam perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, Jumaat malam.

Bekas jurulatih pasukan kebangsaan itu berkata, para pemain gagal mencipta peluang menjaringkan gol dan kekurangan kesungguhan pada separuh masa pertama, tetapi memperbaiki permainan mereka pada separuh kedua perlawanan.

"Saya gembira pada babak kedua kerana mereka (pemain) lebih banyak berusaha dan bertenaga untuk menjaringkan gol. Bagi saya, kita seharusnya  menamatkan permainan dengan mudah setelah mendapat beberapa peluang tetapi jelas mereka  melepaskannya, dan sebaliknya memberi gol yang mudah pada minit akhir perlawanan kepada pihak lawan, "katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Pada masa yang sama, Rajagobal mengakui bahawa dia perlu mengatasi masalah di garis belakang pasukan yang lemah yang mengakibatkan gawang dibolosi 16 kali  dalam tujuh perlawanan terakhir.

Oleh itu, beliau menggesa pasukannya  untuk bangkit semula dan menjamin keputusan positif dalam tiga perlawanan liga terakhir menentang Pahang, Melaka dan Selangor untuk memperbaiki kedudukan mereka dalam jadual kedudukan.

Dalam pada itu, pengendali TFC,  Mohd Nafuzi Mohd Zain berpuashati dengan kutipan tiga mata berkenaan setelah gagal mencatat kemenangan menentang PKNS FC dalam saingan liga sebelum ini.

“Para pemain bekerja keras untuk mencatat kemenangan ini dan sebelum perlawanan, tiada siapa percaya kita mampu menewaskan PKNS FC, namun saya percaya dengan kemampuan pemain saya kerana mereka bermain mengikut arahan,” katanya.

Pada aksi di Shah Alam, pemain import dari Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov meletakkan TFC di hadapan pada minit ke-34, sebelum skuad Semut Merah menyamakan kedudukan pada minit ke-83 menerusi pemain import dari Thailand, Kittiphong Pluemjai.

Skuad Penyu bagaimanapun berjaya mengesahkan tiga mata penuh menerusi jaringan Nasrullah Haniff Johan, selang empat minit kemudian.

Kemenangan tersebut menyaksikan TFC naik satu anak tangga ke kedudukan keenam dengan kutipan 27 mata, manakala PKNS FC kekal di tangga kelapan menerusi pungutan 20 mata daripada 19 perlawanan setakat ini.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Usaha promosi produk tempatan melalui e-dagang langkah tepat - Saifuddin

 
     

Pesakit kanser tahap empat tangguh rawatan akibat kekangan kewangan

 
     

Sukarelawan sepenuh masa APM bakal terima perlindungan Perkeso

 
     

Aduan kebersihan tandas KLIA berkurang 80 peratus

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel