Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pendekatan kerohanian pulihkan penagih dadah


Tarikh kemaskini: 06/07/2019





KUALA BERANG, 6 Julai (Bernama) -- Hanya berbekalkan pengisian kerohanian, ia sudah dapat membantu penagih dadah menghilangkan ketagihan mereka. 

Kaedah itu digunakan di pusat pemulihan Madrasah Khairul Insan, di sini, untuk memulihkan ketagihan penghuninya tanpa menggunakan sebarang pengubatan khas.

Pengasasnya, Zulkiflie Ismail berkata sejak ditubuhkan pada 1997, madrasah itu telah menerima ribuan penagih yang datang secara sukarela bagi melepaskan diri daripada cengkaman dadah.

Beliau berkata tiada rawatan khas diberikan sebaliknya penghuni hanya diajar dengan ilmu agama seperti membetulkan solat, amalan zikir dan puasa bagi mendekatkan diri dengan Tuhan.

Katanya mereka yang masuk ke sini ada yang datang dari Terengganu, Kedah, Selangor dan Pahang terdiri daripada remaja, dewasa dan yang sudah berumur.

"Mula-mula (penghuni) masuk kami hanya biarkan sahaja mereka tidur atau lakukan apa sahaja yang mereka mahu kecuali merokok.

"Bekalan dadah juga memang tidak lepas masuk ke sini memandangkan lokasinya yang jauh ke dalam dan pemeriksaan oleh pihak pengurusan juga sangat ketat," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Madrasah Khairul Insan baru-baru ini.

Bagi memastikan penagih tidak mendapat gangguan luar ketika dalam proses pemulihan, mereka tidak dibenarkan keluar atau berjumpa dengan pelawat dalam tempoh enam bulan.

Zulkiflie berkata selain aktiviti keagamaan, penghuni juga didedahkan dengan seni budaya Melayu seperti silat dan terapi muzik bagi membangkitkan kesedaran, rasa bangga dan semangat jati diri mereka.

"Kita telah menubuhkan kumpulan kebudayaan 'Dendang Anak' yang dianggotai oleh penghuni di sini. Semua lagu yang dinyanyikan juga dicipta sendiri dengan memasukkan unsur-unsur ketuhanan dan alam semesta.

"Sepanjang penubuhan sebanyak 500 lagu telah berjaya dicipta dan kami juga turut menerima banyak jemputan daripada pihak luar yang tertarik dengan muzik serta bait-bait lirik yang kami persembahkan," katanya.

Sementara itu, seorang penghuni, Norazam Ahmad (bukan nama sebenar), 44, berkata dia sudah sembilan tahun berada di situ dan telah pulih sepenuhnya daripada masalah ketagihan dadah.

Walaupun sudah pulih, Norazam tidak berhasrat untuk berhijrah ke dunia luar kerana bimbang akan kembali ke kancah kehidupan lama.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel