Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pembangunan di Luak Rembau perlu ditambah baik


Tarikh kemaskini: 06/07/2019





Oleh Razali Pilus dan Muhammad Najieb Ahmad Fuad

REMBAU, 6 Julai (Bernama) -- Pembangunan di Luak Rembau perlu ditambah baik khususnya dalam aspek pembangunan serta pelancongan bagi membolehkan sosio-ekonomi dikawasan itu bertambah rancak, kata Undang Luak Rembau Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman.

Beliau berkata meski pun kawasan berkenaan memiliki kemudahan asas yang mencukupi, namun ia juga perlu kepada usaha meningkatkan ekonomi penduduk setempat termasuk mempergiatkan lagi promosi terhadap Rembau sebagai destinasi pelancongan yang perlu dilawati.

“Daerah ini harus dipertingkatkan supaya prasarana seperti kemudahan asas penginapan, hotel dan rumah kedai dapat dimajukan lagi sebagai usaha menarik minat ramai ke sini. Sudah tentu, Rembau mempunyai tarikannya sendiri bukan sahaja kehebatan makanan masak lemak cili apinya yang termasyhur malah ia amat berdekatan dengan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Melaka serta amat strategik untuk pelabur. 

“Pembangunan di Rembau ini berjalan mengikut perancangan kerajaan negeri tetapi ia masih belum mencukupi dan perlu ditambah baik dengan fokus kepada industri, pelancongan dan sektor pertanian,” katanya pada sesi temubual bersama Bernama di sini, baru-baru ini.

Rembau yang berkedudukan di sebelah barat Negeri Sembilan mempunyai akses perhubungan jalan raya dan pengangkutan awam yang baik dan boleh menghubungkan kawasan berkenaan dengan ibu negeri, Seremban serta pusat peranginan Port Dickson dan kawasan sekitarnya.

“Dari segi kemudahan pengangkutan awam, pada ketika ini Rembau telah dihubungi sistem komuter yang memudahkan orang ramai untuk ke Seremban dan Kuala Lumpur,” katanya.

Muhamad Sharip berkata perancangan holistik di luak itu harus dilakukan bagi membolehkan kawasan itu turut membangun bersama-sama kawasan lain khususnya Seremban yang terletak bersebelahan.

Rembau mempunyai beberapa pusat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) antaranya Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pedas, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara, Kolej Kemahiran Tinggi MARA Rembau, Kolej Komuniti Rembau dan terbaharu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau.

Bagi sektor perkilangan pula, ia lebih tertumpu di kawasan perindustrian Chembong dan taman industri halal di Pedas manakala dari segi tempat pelancongan pula, kawasan itu memiliki hutan lipur Gunung Datuk, Taman Tema WetWorld Resort Air Panas di Pedas, kawasan kelip-kelip di Sungai Timun serta Replika Istana Raja Melewar.

 “Semuanya ada, namun jika boleh ditambah baik serta ditingkatkan lagi pelabur di sini, ia akan memberi manfaat kepada penduduk setempat. Di Rembau juga terdapat beberapa tinggalan dan kesan sejarah yang boleh dimajukan sebagai tarikan pelancongan. Kedua-dua aset ini boleh mempengaruhi pertambahan jumlah kedatangan pelancong ke sini,” katanya.

Selain aspek pembangunan dan pelancongan, beliau turut berharap kerajaan negeri serta pihak swasta membantu merancakkan lagi sektor pertanian di kawasan berkenaan.

Beliau berkata di Rembau terdapat seluas 5,269.01 hektar tanah adat meliputi tanah kampung, tanah dusun dan tanah sawah membabitkan seramai 9,756 orang pemilik.

"Tanah adat ini telah dimajukan dengan tanaman nanas, tebu, jagung dan sayur-sayuran, selain FELCRA, RISDA dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang mengusahakan dengan tanaman getah dan kelapa sawit.

“Saya berpendapat tanah adat ini perlu dimajukan dengan lebih agresif lagi dengan pertanian berskala besar. Perkara ini boleh dilaksanakan jika ada kesepakatan di antara pemilik tanah berkenaan dengan syarikat pertanian yang berhasrat untuk membangunkan tanah tersebut," katanya.

Sementara itu, mengenai pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Jelebu dan pembangunan Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0), beliau berkata ia merupakan perancangan yang baik untuk Negeri Sembilan memandangkan Rembau juga akan turut sama menerima tempiasnya.

Pembinaan ECRL akan menyaksikan jajaran baharu iaitu Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang.

Manakala MVV merangkumi empat kluster utama iaitu industri, pendidikan, pelancongan dan perkhidmatan dan projek pembangunan mega dalam masa 30 tahun ini dikendalikan oleh Sime Darby Property Bhd merupakan koridor ekonomi keenam negara yang merangkumi keluasan lebih 153,300 hektar.

-- BERNAMA           


 

   

 
 
     
   
 

Henry Golding tersenarai dalam Time 100 Next

 
     

Produk plastik satu daripada industri paling rancak di Malaysia - Dr Ong

 
     

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel