Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kedah sekadar seri 1-1 menentang PKNP FC


Tarikh kemaskini: 06/07/2019




KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Kedah gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila terikat 1-1 menentang PKNP FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam ini.

Skuad Lang Merah yang mempamerkan corak permainan pantas, membuka jaringan menerusi Azamuddin Mohd Akil pada minit ke-51, bagaimanapun PKNP FC bangkit menyamakan kedudukan menerusi pemain import dari Brazil, Giancarlo Lopes Rodrigues pada minit ke-81.

Keputusan itu menyaksikan Kedah melonjak ke tempat kedua selepas 19 perlawanan menerusi kelebihan jaringan, walaupun berkongsi 30 mata bersama Pahang yang menduduki tangga ketiga selepas 17 perlawanan setakat ini.

Pasukan Terengganu FC pula mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas PKNS FC di Stadium Shah Alam.

Pemain import dari Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada minit ke-34, sebelum skuad Semut Merah menyamakan kedudukan pada minit ke-83 menerusi pemain import dari Thailand, Kittiphong Pluemjai.

Skuad Penyu bagaimanapun berjaya mengesahkan tiga mata penuh menerusi jaringan Nasrullah Haniff Johan empat minit kemudian, sekali gus melonjak ke tempat keenam dengan 27 mata selepas 19 perlawanan, manakala PKNS FC kekal di tangga kelapan dengan 20 mata.

Sementara itu, Sabah pula meningkatkan jurang di tangga teratas carta Liga Premier, selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas pencabar terdekatnya, Johor Darul Ta’zim (JDT) II di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Gol tunggal perlawanan itu dijaringkan oleh penyerang import dari Serbia, Rodoljub Paunovic pada minit ke-59, menyaksikan Sabah berada di puncak carta dengan 37 mata daripada 17 perlawanan, diikuti oleh JDT II dengan 33 mata daripada 18 perlawanan.

Sabah hanya memerlukan satu lagi kemenangan dalam baki tiga aksi untuk mengesahkan kejuaraan liga.

Di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan menewaskan pendatang baharu, Selangor United 2-0 untuk menjarakkan pasukan itu daripada zon penyingkiran.

Gol skuad ‘The Red Warriors’ itu dijaringkan menerusi sepakan penalti Nik Akif Shahiran Nik Mat pada minit ke-49 dan Nik Azli Nik Alias pada minit ke-53.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     

Ibu mati, anak OKU dijumpai dahaga lapar dalam rumah di Skudai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel