Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerjasama kerajaan negeri dengan JPN bantu tingkatkan kualiti pendidikan rakyat Selangor


Tarikh kemaskini: 05/07/2019





SHAH ALAM, 5 Julai (Bernama) -- Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Selangor dengan Jabatan Pendidikan pada masa kini dilihat mampu membantu meningkatkan kualiti pendidikan rakyat di negeri ini, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Beliau berkata persamaan tampuk pentadbiran kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan kini memudahkan pihaknya meneruskan Program Pusat Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) secara percuma yang mula dilaksana sejak 10 tahun lepas bagi membantu golongan pelajar yang berdepan masalah dalam peperiksaan.

Malah katanya, penyertaan golongan sasar dalam pelaksanaan PTRS pada tahun ini juga dapat ditambah menjadi 10,000 pelajar melibatkan peruntukan berjumlah RM5.96 juta dibiayai anak syarikat kerajaan negeri iaitu Menteri Besar Diperbadankan (MBI) berbanding seramai 6,000 pelajar pada tahun lepas.

“Matlamat kerajaan negeri adalah untuk meningkatkan kualiti pendidikan rakyat khususnya daripada golongan berpendapatan rendah (B40) iaitu mencapai jumlah pelajar yang lulus serta cemerlang dengan lebih baik.  

“Sebelum ni program PTRS tidak mendapat kerjasama dengan Jabatan Pendidikan tapi kali ini,  mereka memberi kerjasama sepenuhnya yang mana kita boleh mengakses kepada pangkalan data pelajar dan keputusan mereka untuk melihat kelompok yang harus dibantu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Aidil Fitri 2019 bersama warga pendidik negeri Selangor di sini malam ini.

Kata beliau, berdasarkan maklumat daripada pangkalan data berkenaan, sebanyak 14,000 pelajar tingkatan empat di Selangor tahun lepas dikesan mempunyai risiko untuk gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) jika tidak dibantu.

Justeru itu katanya, untuk pelaksanaan PTRS tahun ini, pihaknya berusaha mengenal pasti kelompok pelajar berkenaan terutamanya daripada golongan B40 bagi diberi tuisyen percuma yang diharapkan mampu mengeluarkan sebahagian besar peserta daripada masalah dalam menghadapi peperiksaan.

PTRS merupakan inisiatif tuisyen percuma yang  dilaksanakan kerajaan Selangor sejak 10 tahun lepas  sebagai langkah membantu golongan pelajar tingkatan lima untuk menghadapi SPM.

Ia merangkumi pembelajaran bagi lima mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel