Yw7VVdF4eKM Jenayah siber: MCPF minta kerjasama syarikat telekomunikasi
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jenayah siber: MCPF minta kerjasama syarikat telekomunikasi


Tarikh kemaskini: 05/07/2019





KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) meminta kerjasama syarikat telekomunikasi dalam menangani isu jenayah siber yang disifatkan semakin membimbangkan di negara ini.

Pengerusi Kluster Jawatankuasa Keselamatan Siber MCPF Prof Dr Mohamad Fauzan Noordin berkata berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia yang diberikan kepada MCPF, terdapat 4,385 kes berkaitan jenayah siber direkodkan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Beliau berkata kebanyakan kes itu antaranya membabitkan penipuan telekomunikasi (talian/SMS) diikuti Love Scam.

"Statistik Pasukan Respons Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) pula telah merekodkan sebanyak 3,743 serangan (siber) dan kes penipuan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 2,563 kes dalam tempoh yang sama.

"Mereka (syarikat telekomunikasi) boleh mengenal pasti nombor-nombor telefon yang aktif melakukan penipuan," katanya pada sidang akhbar berkaitan jenayah siber, di sini hari ini yang turut dihadiri Naib Presiden MCPF Tan Sri Lee Lam Thye.

Mohamad Fauzan berkata kejadian berkaitan cubaan menipu orang ramai telah banyak tular di media sosial.

Pada 23 Jun, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilapor berkata terdapat  peningkatan mendadak penipuan e-kewangan sepanjang lima bulan pertama tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Fauzan berkata Jawatankuasa Keselamatan Siber yang ditubuhkan pada 8 Mei lalu bakal melaksanakan program Awas Media Sosial dan Permainan Dalam Talian (Awaspada) yang dijangka dirasmikan awal September ini.

Beliau berkata program itu bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna media sosial dan permainan dalam talian berhubung kesan negatif jika tidak digunakan secara bijaksana serta berhemah.

"Semua pihak dialu-alukan untuk memberi kerjasama dengan MCPF bagi menjayakan program Awaspada untuk mengurangkan kadar jenayah siber dalam negara,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel