Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan tawar insentif cukai, geran bagi tingkatkan penyertaan dalam Expo 2020 Dubai


Tarikh kemaskini: 05/07/2019





PUTRAJAYA, 5 Julai (Bernama) -- Kerajaan telah meluluskan insentif cukai dan geran untuk menggalakkan syarikat yang mempunyai potensi untuk mengambil bahagian dan menyumbang dalam Expo 2020 Dubai yang akan datang.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata Kementerian Kewangan telah meluluskan insentif cukai untuk sumbangan tunai atau penajaan penyertaan Malaysia dalam ekspo tersebut.

"Individu dan syarikat akan layak menerima potongan cukai sebanyak tujuh peratus dan 10 peratus daripada pendapatan agregat di bawah Seksyen 44 (11C) (a)(b) Akta Cukai Pendapatan 1967, mulai 1 Julai tahun ini hingga 10 April, 2021," katanya pada pelancaran kempen jenama #MyButterflyEffect untuk Pavilion Malaysia di ekspo tersebut di sini hari ini.

Yeo berkata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) turut menawarkan sehingga RM200,000 kepada pemohon yang berjaya terlibat dalam aktiviti promosi eksport antarabangsa di bawah Geran Pembangunan Pasarannya.

Beliau berkata langkah itu untuk menggalakkan syarikat Malaysia menyertai Pavilion Malaysia di ekspo tersebut, apabila 200 gerai pameran untuk syarikat awam dan swasta boleh didapati untuk mempamerkan inovasi dan teknologi mereka di pentas antarabangsa.

Expo 2020 Dubai akan berlangsung dari 20 Okt tahun depan hingga 10 April, 2021 di Pusat Pameran Dubai di Emiriah Arab Bersatu. Bertemakan "Connecting Minds, Creating the Future", ekspo itu, menampilkan ratusan pavilion, menarik penyertaan 19 negara dan menjangka 25 juta pengunjung.

Pada acara itu, Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz diumumkan sebagai duta #MyButterflyEffect.

Yeo berkata Pavilion Malaysia, yang menumpukan kepada 'Energising Sustainability', menyasarkan potensi nilai perdagangan dan/atau pelaburan sebanyak RM10 bilion, 1,000 potensi perniagaan dan 20 Memorandum Persefahaman (MoU) atau perjanjian kerjasama.

Beliau berkata kementeriannya menjangka satu juta pengunjung ke Pavilion Malaysia dengan sekurang-kurangnya 20 delegasi negara dan lebih 5,000 peserta ke programnya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel