Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pertanyaan langsung untuk melabur di Pulau Pinang meningkat, kata Chow


Tarikh kemaskini: 05/07/2019





GEORGE TOWN, 5 Julai (Bernama) -- Pulau Pinang telah menerima jumlah pertanyaan langsung yang meningkat mengenai peluang pelaburan daripada pelabur asing, terutamanya Taiwan, berikutan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Taiwan menjadi antara lima pelabur utama di negeri ini.

"Susulan daripada perang perdagangan, jumlah pertanyaan daripada pelbagai perniagaan untuk mewujudkan kemudahan pembuatan di Pulau Pinang meningkat. Pada masa ini, syarikat Taiwan merupakan antara lima pelabur utama di Pulau Pinang.

"Saya yakin, walaupun tanpa perang perdagangan, terdapat peluang yang mencukupi untuk perniagaan Taiwan melabur di Pulau Pinang. Kami mengalu-alukan pelaburan sedemikian," katanya pada sidang media pada perasmian Ekspo Taiwan 2019, di sini hari ini.

Beliau berkata Taiwan mempunyai kedudukan dalam banyak sektor dan menjadi kuasa besar, terutamanya dalam sektor teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), yang dapat memberi peluang tanpa had kepada Pulau Pinang.

Chow berkata Pulau Pinang turut mengalu-alukan pelabur Taiwan melabur dalam peranti perubatan dan mewujudkan hospital di negeri ini berikutan ia mempunyai kluster elektrik dan elektronik (E&E) yang kukuh, yang dapat menyokong subsektor lain.

"Peranti perubatan antara sektor yang telah menyaksikan pertumbuhan yang amat baik di Pulau Pinang. Diharapkan dengan kedudukan Pulau Pinang, pelabur Taiwan akan meninjau infrastruktur, rantaian bekalan, hab logistik, budaya, kumpulan tenaga kerja dan persekitaran kita, sebagai lokasi untuk mereka datang," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA), James C F Huang, pada sidang media itu berkata beliau amat optimis bahawa Ekspo Taiwan di Pulau Pinang akan menjana hubungan dan momentum yang lebih baik untuk kerjasama perniagaan.

"Ini merupakan ekspo pertama kami di Pulau Pinang dan kami amat berbesar hati untuk datang ke sini. Dua ekspo sebelum ini diadakan di Kuala Lumpur. Pulau Pinang istimewa berikutan ia mempunyai status Warisan Dunia Unesco. Itu juga sebabnya kami memutuskan untuk datang ke Pulau Pinang.

"Bagi Ekspo Taiwan pada tahun ini, kami menumpukan lebih kepada bandar pintar, Revolusi Perindustrian 4.0, teknologi hijau, penjagaan kesihatan dan elemen gaya hidup dan budaya Taiwan, seperti bubble tea. Saya pasti ia berbaloi untuk mengunjungi pameran kami. Kami cuba mempamerkan produk, teknologi dan inovasi yang terbaik," katanya.

Ekspo selama dua hari itu, yang bermula hari ini, mempamerkan produk daripada 140 pengeluar Taiwan di 110 gerai pameran.

Ia memberi peluang kepada pengunjung untuk mempelajari teknologi bandar pintar Taiwan yang terkenal di peringkat antarabangsa, Industri 4.0, teknologi hijau, penjagaan perubatan, trend produk gaya hidup, pelancongan dan makanan Taiwan, serta melawat Pavilion Halal Taiwan yang istimewa.

Acara itu dijangka menjana peluang perniagaan antara Taiwan dan Malaysia untuk tahun ketiga berturut-turut.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel