Z0fxDPRnYEw Pelajar maut tragedi terjerlus bas, aktif sukan
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pelajar maut tragedi terjerlus bas, aktif sukan


Tarikh kemaskini: 04/07/2019





PASIR PUTEH, 4 Julai (Bernama) -- Murid yang terkorban akibat terjerlus tangga bas, Wan Muhammed Adam Mohd Suria, 12, disifatkan pelajar aktif dalam bidang sukan dan pernah mewakili Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Machang ke peringkat negeri.

Ibunya, Nik Hasmani Mohamad, 44, berkata, Allahyarham anaknya itu sangat berminat dalam sukan catur, bola sepak, bola tampar dan mempunyai banyak sijil mewakili PPD Machang.

“Allahyarham juga aktif sebagai seorang  pengawas di sekolahnya iaitu Sekolah Kebangsaan Tok Bok,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Tengku Anis di sini, petang ini.

Wan Muhammed Adam meninggal dunia dipercayai terjerlus dan jatuh ke jalan raya dari dalam bas yang dinaikinya, di Kampung Kandis di sini ketika perjalanan dari sekolahnya ke Bukit Keluang, Terengganu untuk menyertai bengkel Bahasa Inggeris kira-kira pada pukul 12.50 tengah hari tadi.

Beliau meninggal di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan teruk di seluruh bahagian badan.

Nik Hasmani berkata, tiada apa-apa perubahan yang luar biasa berlaku, sebelum Allahyarham bertolak pagi tadi tetapi, mangsa nampaknya sedikit keberatan untuk pergi ke sana.

Katanya, keluarganya redha dengan pemergiannya, cuma sedikit terkilan apabila kehilangan satu-satunya anak lelaki daripada empat orang anak.

Tiga lagi anaknya, Wan Nur Fazleem Amirah, 24, Wan Nur Fazreen Athirah, 18, dan Wan Nur Faresya Amanda, 15.

Katanya, mangsa akan dikebumikan di kawasan perkuburan Bukit Bakar selepas Isyak malam ini, sebaik selesai menjalani bedah siasat di Hospital Tengku Anis di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, DSP Mohd Azmir Damiri dalam satu kenyataan berkata, mangsa sebelum itu bermain di bahagian hadapan sebelah kiri pemandu  secara tiba-tiba melompat ke bahagian hadapan pintu masuk bas, dan terus terjatuh ke bawah bas disebabkan lantainya reput.

Katanya, mangsa adalah salah seorang  daripada 31 pelajar  tahun enam  sekolah itu yang berada dalam bas tersebut ketika kejadian.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPNK), Abu Hanipah @Fauzi Zahari ketika ditemui  di hospital berkenaan berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan mengenainya dalam tempoh terdekat.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel