Pegawai APM Manjung dipatuk ular tedung
Tarikh kemaskini: 04/07/2019

LUMUT, 4 Julai (Bernama) -- Seorang pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Manjung cedera selepas dipatuk seekor ular senduk ketika sedang tidur di pejabatnya di Jalan Tok Perdana, Sitiawan, dekat sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, mangsa, Nasarudin Abu Bakar, 59, dipatuk ular berkenaan di tapak tangan kiri sebelum dikejarkan ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut.
Pegawai Operasi dan Bencana APM, Shamsur Shahuddin berkata ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang tidur selepas membuat kerja di pejabatnya.
“Tiba-tiba dia tersedar sebelum dipatuk ular sepanjang 0.6 meter berkenaan di tapak tangannya sebelum bergegas keluar dari pejabatnya untuk mendapatkan bantuan.
“Ular itu bukan ular hasil operasi APM sebaliknya ular itu dipercayai masuk ke pejabat Nasarudin melalui lubang saluran di bilik air,” katanya ketika dihubungi di sini..
Shamsur berkata keadaan mangsa di dilaporkan stabil dan sedang menerima rawatan lanjut.
Katanya, anggota APM juga berjaya menangkap ular senduk tersebut.
-- BERNAMA
|