Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Inovasi serta kreativiti pemangkin ke arah negara maju - Raja Muda Perlis


Tarikh kemaskini: 04/07/2019





ARAU, 4 Julai (Bernama) -- Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalaullail mahu pelajar menjadi serba boleh dalam menyelesaikan pelbagai isu yang kompleks di samping kreatif dan inovatif untuk menjadi pemangkin ke arah negara maju.

Baginda bertitah, pelajar hari ini berhadapan dengan dunia yang berasaskan teknologi digital iaitu internet, pengkomputeran awan dan media sosial yang memberi cabaran baharu kepada sistem pendidikan formal.

“Dalam hubungan ini guru dan pengurusan sekolah perlu memberi komitmen berterusan bagi membentuk alat pedagogi dan adaptasi kaedah baharu yang amat diperlukan.

Justeri, guru dan pelajar perlu bersedia mengintegrasi luasan realiti dalam pengajaran dan pembelajaran yang mana pengintegrasian luasan realiti dalam pengajaran membolehkan pelajar memahami sesuatu konsep dengan lebih baik, titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah pada simposium Perlis Engineering Research Learning and Innovation Symposium (Perlis 5.0) di Dewan Ilmu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini, hari ini.

Baginda bertitah, simposium tahunan itu amat bermakna dalam usaha melahirkan penggerak inovatif yang unggul di negara ini kerana cabaran-cabaran semasa yang muncul secara sedar ataupun tidak perlu diatasi dengan penyelesaian yang kreatif dan bijaksana.

Baginda berharap pelbagai inovasi dan transformasi yang dicipta setiap tahun dipertingkatkan sehingga boleh dikomersialkan dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Program itu di bawah Kepimpinan dan Komuniti UniMAP bersama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis turut mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Perlis dan Malaysian Research & Innovation Society (MyRIS).

Sebanyak 13 buah sekolah di seluruh Perlis menyertai simposium itu dan mempertandingkan 43 produk inovasi pelajar. Sekolah Kebangsaan (SK) Sena yang menghasilkan inovasi 'fragran deodorizing container for stinkkids shoes’ muncul juara.

Pereka muda dua beradik yang menghasilkan produk itu, Najidah Humairah Mohd Najmuddin,12, dan Najmuilmi Hakim Mohd Najmuddin, 9, memenangi pingat emas dan hadiah utama ke Kaohsiung, Taiwan.

SK Kayang menerima anugerah inovasi terbaik diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Perempuan Alawiyah Kangar menerima MyRIS Best Invention Award manakala SK Putra merangkul dua anugerah iaitu MyRIS Special Award dan Perlis Special Award.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     

Sultan Nazrin rasmi klinik kesihatan Simpang

 
     

Dua warga emas lari lebih 500km sempena Hari Kebangsaan ke-62

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel