Polis Marin rampas beras pulut seludup
Tarikh kemaskini: 04/07/2019
LANGKAWI, 4 Julai (Bernama) -- Sebuah bot yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di sebatang sungai di Taman Nilam, di sini membawa kepada penemuan beras pulut seberat 300 kilogram yang disyaki dibawa masuk dari negara jiran, hari ini.
Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Langkawi , DSP Rohizan Mohamad Saaid berkata rampasan dilakukan sepasukan anggota yang sedang melaksanakan Op Landai di kawasan terbabit kira-kira pukul 11 pagi.
"Semasa membuat rondaan, anggota pasukan menemukan sebuah bot gentian yang diletakkan dalam keadaan mencurigakan. Anggota pasukan kemudian memeriksa bot tersebut sebelum melihat beberapa bungkusan plastik hitam yang mengandungi beras pulut dipercayai dibawa dari Thailand ditinggalkan di bahagian dek bot tersebut.
Anggota kemudian melakukan intipan hampir sejam namun tidak sebarang tuntutan dibuat sebelum bertindak membawa beras pulut dianggarkan bernilai RM2,000 dan bot serta enjin dengan nilai anggaran RM14,000 itu balik ke Pangkalan PPM Wilayah Satu di Bukit Malut untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Rohizan berkata kes akan disiasat mengikut Seksyen 22 Akta Polis 1967.
-- BERNAMA
|