Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sebahagian besar veteran tentera Kelantan/Terengganu sudah terima BHN


Tarikh kemaskini: 04/07/2019




PASIR PUTEH, 4 Julai (Bernama) -- Sebahagian besar daripada 34,000  veteran tentera dalam kumpulan ketegori B40 di negeri Kelantan dan Terengganu sudah menerima sumbangan kerajaan di bawah program Bantuan Harapan Negara (BHN) sebagaimana  diumumkan oleh kerajaan sebelum Hari Raya Aidilfitri lepas.

Pengarah  Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Cawangan Kelantan dan Terengganu, Mejar Muhd Aman Alias berkata hanya sebilangan kecil sahaja iaitu  antara 1 hingga 2 peratus masih tidak menerima bantuan  di bawah program  itu sehingga sekarang.

“Mereka  termasuk  berumur 70 tahun yang tidak berdaftar dengan JHEV selepas agensi (JHEV) mulai beroperasi 2001 dan sukar dikesan alamat tempat tinggal masing-masing,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada balu veteran ATM,  Zakiah Daud, 68, di Kampung Panggong di sini, hari ini.

Bagaimanapun menurutnya mereka masih berpeluang memohon dengan JHEV menerusi  pejabat-pejabat berhampiran atau laman web JHEV sebelum 1 Oktober depan untuk dipertimbangkan.

Sementara itu Zakiah yang kini lumpuh akibat penyakit saraf ketika ditemui pada majlis itu berkata, bantuan dari agensi itu termasuk pemberian tiga buah basikal, dapat meringankan bebannya untuk menyara kehidupan empat cucunya iaitu seorang di sekolah menengah dan tiga di sekolah rendah dan pra sekolah.

Beliau berkata bantuan RM150 sebulan daripada Pejabat Kebajikan Masyarakat Pasir Puteh tidak mencukupi untuk menyara keempat-empat cucunya, yang memaksa beliau memberhentikan persekolahan tiga cucunya yang belajar di Sekolah Kebangsaan Panggong sejak dua bulan lepas.

“Kadang-kadang hidup makcik sekeluarga bergantung atas ihsan penduduk kampung yang menyumbang barang-barang keperluan harian termasuk beras,” katanya.

“Syukur sekarang penderitaan makcik mendapat pembelaan daripada JHEV yang menyumbang pelbagai bentuk bantuan termasuk tilam, katil dan kerusi roda selain berusaha mendapatkan bantuan tambahan bulanan daripada Pejabat Kebajikan Masyarakat,” katanya.

“Sebelum ditimpa penyakit  sejak tiga bulan lepas makcik mengambil upah sebagai tukang urut, dan hasil usaha itulah sedikit sebanyak dapat menyara kehidupan cucu-cucu makcik secara ala kadar sahaja,“ katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel