Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

JKKP keluar dua notis larangan susulan kes pekerja maut di Sitiawan


Tarikh kemaskini: 04/07/2019




LUMUT, 4 Julai (Bernama) -- Dua notis larangan dikeluarkan kepada pemilik sebuah syarikat susulan kes seorang pekerja maut akibat dihempap besi seberat satu tan ketika sedang bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas di Kampung Acheh, di sini. 

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak Zamzurin Maarof berkata pihaknya turut mengarahkan syarikat tersebut menghentikan sementara proses pembinaan ‘jacket’ pelantar minyak sehingga siasatan lanjut selesai dan pihak majikan boleh melakukan penambahbaikan.

Katanya, dua notis larangan yang dikeluarkan adalah mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 iaitu majikan didapati gagal mengadakan prosedur kerja yang selamat bagi kerja mengangkat secara manual selain gagal menjalankan penaksiran risiko bagi aktiviti berkenaan.

“Tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di kawasan kejadian di sini hari ini.

Semalam, seorang lelaki berumur 29 tahun maut selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala ketika sedang melakukan kerja pemasangan ‘saddle bottom’ bagi jacket pelantar minyak dengan menggunakan ‘webbing sling’ yang putus semasa proses untuk kerja kimpalan, kira-kira pukul 3.57 petang.

Zamzurin berkata majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dan perlu bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja.

Katanya, majikan juga perlu membuat analisis risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan.

“Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Bahaya, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC),” katanya.

--BERNAMA

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     

Sultan Nazrin rasmi klinik kesihatan Simpang

 
     

Dua warga emas lari lebih 500km sempena Hari Kebangsaan ke-62

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel