Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

13 penagih ditahan dalam Op Sarang Mega di Klang Utara


Tarikh kemaskini: 04/07/2019





SHAH ALAM, 4 Julai (Bernama) -- Polis Klang Utara menahan 13 lelaki warga tempatan dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan Op Sarang Mega di kebun kelapa sawit di Jalan Bukit Kerayong, Meru dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Nurul Huda Mohd Salleh berkata operasi dijalankan selama lapan jam bermula pukul 7 pagi di lokasi itu berikutan ia dipercayai masih menjadi tumpuan penagih dadah untuk mendapatkan bekalan dadah mereka.

Beliau berkata pihaknya turut merampas 42.4 gram dadah disyaki heroin dianggarkan bernilai RM1,500 dan dadah jenis syabu seberat 5.2 gram bernilai kira-kira RM300 dalam operasi berkenaan.

“Majoriti suspek yang ditahan tidak mempunyai pekerjaan tetap dan didapati sering mendapatkan bekalan dadah di lokasi tersebut sejak dua bulan yang lepas walaupun usaha dan operasi giat dijalankan oleh polis.

“Daripada tangkapan itu, tiga daripada mereka merupakan individu yang dikehendaki polis di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Berdasarkan risikan awal, seorang daripada suspek itu juga dikenal pasti sebagai pengedar dadah yang boleh diambil tindakan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) ADB 1985,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Nurul Huda, ujian air kencing yang dijalankan ke atas kesemua suspek berumur 24 hingga 65 tahun itu juga menunjukkan mereka positif dadah jenis methamphetamine dan opiat.

Hasil daripada operasi itu juga katanya, sebanyak tiga kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan yang mana seorang suspek terlibat dalam kes di bawah Seksyen 39B ADB 1952, lapan suspek bagi kes di bawah Seksyen 39A(2) ADB 1952 dan seorang lagi di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952.

Beliau berkata suspek yang disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952 itu direman sehingga Ahad manakala selebihnya direman sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut.

Tambah beliau, sejak Januari hingga kini, pihaknya telah menahan lapan individu di daerah itu yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 3(1) ADB (LLPK) 1985 dan dihantar ke Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam, Johor.

“Secara keseluruhannya, Op Sarang ini dilihat berjaya mengurangkan aktiviti pengedaran dadah hasil maklumat serta kerjasama orang awam yang sentiasa prihatin dengan keadaan sekeliling. Operasi seumpamanya akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel