Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Johor sedia kaji naikkan kompaun terhadap kilang, ladang ternakan sebabkan pencemaran


Tarikh kemaskini: 04/07/2019





ISKANDAR PUTERI, 4 Julai (Bernama) -- Kerajaan negeri bersedia untuk mengkaji keperluan meningkatkan nilai kompaun terhadap pengusaha kilang dan ladang ternakan yang didapati telah membuang sisa ternakan mereka ke dalam sungai hingga menyebabkan pencemaran di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Chen Choon berkata kesediaan itu adalah kerana pihaknya tidak mahu sungai-sungai di negeri ini tercemar lagi pada masa hadapan. 

“Kalau ada keperluan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor akan cadangkan kepada kementerian (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) untuk membuat pindaan (nilai kompaun) namun kajian haruslah dibuat dahulu,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di sini, hari ini.

Tan berkata demikian sebagai menjawab soalan Abd Taib Abu Bakar (BN-Machap) yang ingin tahu sama ada pernah atau tidak semakan dibuat untuk menaikkan kompaun terhadap pengusaha-pengusaha kilang dan ladang ternakan yang didapati telah melepaskan sisa ternakan mereka ke dalam sungai berhampiran hingga menyebabkan pencemaran. 

Menurut Abd Taib, nilai kompaun yang diberikan terhadap pesalah yang mencemari sungai kini adalah sangat rendah iaitu sebanyak RM2,000 dan tidak berpadanan dengan tindakan mereka yang memudaratkan alam sekitar dan masyarakat sekeliling.

Menjawab satu lagi soalan daripada Abd Taib berhubung keperluan untuk melantik kontraktor yang kompeten bagi mengendalikan sisa-sisa ternakan, Tan berkata perkara itu akan dibincangkan dengan pihak yang terlibat dahulu seperti Jabatan Veterinar.

“Saya mengambil maklum cadangan ini tetapi perlu diingat bahawa untuk mengatasi pencemaran ini, kita memerlukan kerjasama dan tindakan bersepadu daripada semua pihak, bukan sahaja pada JAS. 

“Kerjasama ini meliputi usaha kita untuk memastikan pembangunan sesuatu kilang diteliti sebaik-baiknya, sebelum diluluskan,” katanya.

-- BERNAMA 

 


 

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel