Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pembinaan litar lumba Sungai Petani masuk fasa kedua


Tarikh kemaskini: 04/07/2019





ALOR SETAR, 4 Julai (Bernama) -- Pembinaan litar lumba di Sungai Petani bakal memasuki fasa kedua beberapa bulan lagi yang dijangka melibatkan peruntukkan berjumlah RM20 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Usahawan negeri Mohd Asmirul Anuar Aris berkata fasa pertama yang melibatkan kerja seperti meratakan tanah telah selesai dilaksanakan dan menelan kos sebanyak RM10 juta.

“Kita akan mula merangka struktur litar termasuk menyediakan infrastruktur sebelum menyerahkan kepada syarikat milik kerajaan negeri iaitu Bina Darulaman Berhad (BDB) untuk melaksanakan pembinaannya.

“Sementara itu, Sepang International Circuit (SIC) pula akan bertindak sebagai penasihat teknikal termasuk mengenai pelaksanaan pembangunan litar serta sebagai penasihat pengurusan selepas litar berkenaan siap sepenuhnya,” katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi program Kedah Food Valley antara Obihiro Chamber of Commerce and Industry (OCCI) dari Jepun dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

Mohd Asmirul berkata pembinaan litar lumba bertaraf antarabangsa itu juga akan menggunakan teknologi tinggi dari United Kingdom yang akan memastikan ia mencapai tahap piawaian yang ditetapkan.

“Projek pembinaan berteknologi tinggi ini mungkin akan memerlukan kos tambahan sebanyak RM40 juta lagi dan akan disalurkan kerajaan Persekutuan secara berperingkat nanti. Perkara itu telah dibincangkan semasa perjumpaan kerajaan negeri bersama SIC dan Menteri Belia Dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini.

“Kita juga akan memberi peluang kepada peminat sukan permotoran tempatan untuk menggunakan litar ini pada waktu-waktu tertentu, jadi ia tidaklah hanya fokus kepada penganjuran pertandingan antarabangsa sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Asmirul berkata kerajaan negeri juga telah memohon agar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meneruskan pembinaan sebuah kompleks sukan baharu yang dijangka akan dibina di Kuala Muda.

“KBS minta kita pilih sama ada ingin bina di Kuala Muda atau Kubang Pasu dan kami pilih Kuala Muda berikutan permintaan dan jumlah penduduk yang ramai di daerah itu. Pembinaan kompleks sukan itu dijangka melibatkan kos RM9 juta dan kerajaan negeri akan sediakan tanah bagi tujuan itu,” katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     

Sultan Nazrin rasmi klinik kesihatan Simpang

 
     

Dua warga emas lari lebih 500km sempena Hari Kebangsaan ke-62

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel