Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

UMK bakal lahirkan usahawan berjaya, ternama


Tarikh kemaskini: 04/07/2019





BACHOK, 4 Julai (Bernama) -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyediakan empat latihan asas kepada pelajar Fakulti Teknologi dan Kemahiran Warisan (FTKW) bagi melahirkan lebih ramai usahawan berjaya dalam kalangan mahasiswa universiti itu seterusnya dapat membuka peluang pekerjaan kepada orang lain.

Timbalan Pengarah Aktiviti Keusahawanan UMK Wan Yusoff Wan Ibrahim berkata empat latihan itu ialah  Young Preneur Booth Camp (YPBC), Bengkel Kewangan Syarikat Pelajar (BKSP), Bengkel Pemantapan Syarikat Pelajar (BPSP) dan Young e-Commerce Preneur  (YEP) iaitu latihan pemerkasaan pelajar. 

“Latihan yang disediakan mengikut peringkat dengan pelajar semester 1 dan 2 akan diberikan latihan YPBC supaya boleh mengenal pasti pelajar yang ada idea dan potensi dan hasilnya nanti pelajar bersedia untuk mendaftar perniagaan dengan Syarikat Siswa Universiti (SSU) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Untuk tahap berikutnya iaitu BKSP, pelajar akan didedahkan untuk membuat akaun asas dan pengurusan kewangan kendiri dengan dibantu pensyarah untuk memastikan perniagaan yang mereka wujudkan itu kekal dan berjaya,” katanya kepada Bernama.

Katanya sehingga kini, lebih kurang 700 pelajar terbabit secara langsung dengan program perniagaan dan terdapat 376 syarikat SSU berdaftar dengan 100 daripadanya adalah aktif.

“Pihak universiti juga kini sedang dalam proses untuk mengemas kini data pelajar dan perniagaan yang mereka jalankan itu,” katanya.

Penubuhan FTKW itu sendiri kata Wan Yusoff, memang bertujuan melestarikan warisan dan mengungguli teknologi kreatif dalam bidang keusahawanan kreatif selaras dengan Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN, 2009) di peringkat global.

“Tujuan FTKW itu sendiri selari dengan visi dan misi UMK sebagai universiti keusahawanan untuk melahirkan graduan yang kompeten dengan ciri-ciri keusahawanan, berkemahiran dan berketerampilan tinggi dalam bidang reka bentuk, teknologi kreatif, warisan dan keusahawanan kreatif di peringkat pengajian Pra Siswazah dan Pasca Siswazah,” katanya.

Menurutnya lagi pelajar FTKW mempunyai produk tersendiri yang menggunakan bersama teknologi kreatif dan warisan seperti pembuatan batik, ukiran, tekstil dan pelbagai industri lain yang terdapat dalam pasaran sekarang.

Wan Yusoff berkata dua graduan kebanggaan universiti itu ialah pengusaha susu C2Joy dan Tati Kosmetik yang sudah bergelar jutawan walaupun baru empat tahun meninggalkan universiti manakala dua pelajar sarjana kini memperoleh pendapatan hampir RM20,000 sebulan yang mengusahakan kios usahawan pelajar.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel