Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pasar Payang 2 lebih bersih, kemas dan menarik


Tarikh kemaskini: 03/07/2019





KUALA TERENGGANU, 4 Julai (Bernama) -- Keadaan Pasar Payang 2 yang bakal beroperasi Julai ini, terletak bersebelahan Sungai Terengganu, mampu memberi kenangan menarik kepada pengunjung kerana ia bersih, teratur dan selesa. 

Lokasi pasar baharu itu juga tidak jauh dari Pasar Besar Kedai Payang (Pasar Payang), namun berbanding pasar sebelum ini,  Pasar Payang 2 menyediakan ruang niaga yang lebih luas dengan 762 lot kedai dan kemudahan lain seperti tandas serta surau.

Peniaga diarahkan berpindah sementara ke lokasi tersebut berikutan keputusan kerajaan negeri untuk melakukan beberapa penambahbaikan terhadap Pasar Payang yang telah dibina sekitar tahun 1960-an itu.

 Tinjauan Bernama di Pasar Payang 2 baru-baru ini mendapati kerja-kerja mengubahsuai dan menambah baik lot kedai oleh para peniaga sedang giat dilakukan bagi membolehkan mereka berpindah dengan segera.

Seorang peniaga kain batik dan sutera, Syed Ahmad Shahrom Syed Othman, 40, berkata walaupun bangunan tersebut telah siap, peniaga masih perlu membuat beberapa penambahbaikan atas faktor keselamatan.

Beliau yang berniaga bersama ibunya, Rubiah Abdul Rahman, 62, berkata jaring besi yang dipasang sebagai atap perlu diganti dengan siling kayu bagi mengelak kedai dipecah masuk dengan mudah.

"Kontraktor hanya pasang jaring besi sebagai atap memandangkan lot kedai ini terletak dalam bangunan dan memanglah tidak terkena hujan.

"Tetapi aspek yang mereka terlepas pandang ialah isu keselamatan kerana jaring besi  seperti ini pencuri boleh panjat dan mudah sangat untuk mereka pecah masuk," katanya ketika ditemui Bernama di Pasar Payang 2. 

Selain itu, Syed Ahmad Shahrom berkata pemasangan siling itu juga amat perlu bagi mengelak barang jualan rosak sekiranya terkena tempias hujan memandangkan kedudukan kedainya di bahagian paling tepi dan berhampiran sungai.

Seorang lagi peniaga pakaian, Yusman Mohamad, 45, berkata dia memperuntukkan wang kira-kira RM2,000 untuk mengupah tukang memasang siling dan membina beberapa rak kecil di kedainya.

Beliau berkata ruang kedai yang agak sempit di Pasar Payang 2 memerlukan peniaga melakukan susun atur dengan teliti dan bijak bagi memuatkan barangan jualan yang banyak.

"Keluasan sebelum ini ialah sekitar 14x14 kaki (4.27 x 4.27 meter) berbanding di Pasar Payang 2 yang hanya 10x10 kaki (3.05 x 3.05 meter). Jadi saya rancang untuk bina rak kecil secara bertingkat-tingkat untuk memuatkan lebih banyak pakaian di dalam kedai.

"Jaring juga perlu diganti kerana mana tahu terkena najis burung yang tersesat terbang masuk ke dalam kerana ia berkonsep bangunan terbuka," katanya yang sudah berniaga lebih 10 tahun.

Namun begitu Yusman berkata beliau tidak begitu gusar kerana  keadaan itu hanya bersifat sementara dan apabila pembinaan Pasar Payang baharu siap dalam tempoh dua tahun lagi, perniagaannya dapat beroperasi dalam keadaan jauh lebih baik.

Sementara itu, seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd berkata beliau serta rakan-rakan lain berharap supaya Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengenakan bayaran sewa yang lebih rendah berbanding Pasar Besar Kedai Payang kerana ruangnya lebih sempit dan sambutan daripada pembeli juga belum diketahui.

"Saya jangka dapat pindah masuk ke Pasar Payang 2 pada pertengahan Julai ini dan pelanggan tetap juga sudah dimaklumkan.

"Setakat ini kadar sewa belum dimaklumkan lagi tetapi saya minta jasa baik MBKT untuk tetapkan harga berpatutan kerana kita belum tahu lagi bagaimana sambutan pengunjung di tempat baharu," katanya yang berniaga barang-barang runcit.

Walaupun terpaksa melakukan penambahbaikan, tinjauan mendapati rata-rata peniaga teruja untuk memulakan perniagaan di tempat baharu kerana tidak perlu lagi bersesak-sesak dan berdepan dengan masalah seperti atap bocor.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel