Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PGA7 rampas lebih enam tan beras Siam cuba diseludup masuk


Tarikh kemaskini: 03/07/2019




PASIR MAS, 3 Julai (Bernama) -- Anggota pasukan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas 6,620 kilogram beras Siam yang dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran selepas menahan sebuah lori dekat Banggol Kulim, Rantau Panjang, malam tadi.

Pegawai Pemerintahnya Supt Azhari Nusi berkata, kejayaan itu adalah hasil risikan dan juga pemantauan oleh anggota pasukan selepas melihat sebuah lori dalam keadaan mencurigakan menghala ke Taman Wahyu, di sini, pukul 9.00 malam.

Beliau berkata selepas diekori pemandu lori kemudiannya memberhentikan lori di tepi jalan dan keluar melarikan diri ke dalam semak berdekatan.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan di bahagian belakang lori berkenaan anggota menjumpai timbunan beras pelbagai jenama sebanyak 6,620 kg, bersama 750 kg beras pulut.

"Berdasarkan siasatan awal bekalan beras Siam itu dipercayai diperolehi dari pangkalan haram Kedap dan Lubuk Gong, di sini, dan kemungkinan akan dihantar keluar dari Kelantan," katanya kepada pemberita pada sidang media di Markas Taktikal PGA Lubok Setol di sini, hari ini.

Azhari berkata kesemua beras yang dianggar bernilai RM23,148 dan lori itu kemudiannya dirampas untuk diserahkan kepada pihak Kawal Selia Padi dan Beras Negara kerana dipercayai diseludup.

Katanya perbuatan itu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 (522) dan jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman denda sehingga RM25,000 dan barangan dirampas.

Sementara itu Azhari berkata sepanjang 22 hari penugasan, pihaknya berjaya mencatatkan 39 kes dengan nilai tangkapan menajangkau RM1 juta.

"Sepanjang tempoh itu kami turut merampas 14 buah kenderaan dan menahan 28 orang termasuk 16 pendatang tanpa izin (Pati) warga Myanmar.

“Pihak kami akan meneruskan operasi bagi membanteras sebarang bentuk penyeludupan terutamanya senjata api, dadah dan Pati yang dibawa masuk ke sini melalui kawasan tanggungjawab Op Wawasan serta memastikan kompleks dan petugas Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) terjamin," katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel