Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jabatan Kesihatan Johor sentiasa pantau mangsa Sungai Kim Kim


Tarikh kemaskini: 03/07/2019





JOHOR BAHRU, 3 Julai (Bernama) -- Jabatan Kesihatan negeri sentiasa memantau keadaan mangsa-mangsa pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang Mac lepas, termasuk Irfan Wafiy Idham Wazir, yang kini dipercayai mempunyai penyakit MyoKimia.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar  berkata pihaknya juga bercadang untuk bertemu kanak-kanak berusia 12 tahun itu yang merupakan murid  Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Dahlia.

“Kami akan jumpa dan pastikan sebarang bantuan yang mereka perlukan. 

“Kami juga akan melihat apa sebenarnya yang berlaku (terhadap kanak-kanak berkenaan), ” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Menara Aqabah, di sini, hari ini.

Mohd Khuzzan berkata pihaknya memantau keadaan kanak-kanak itu sehingga hari ini dan kanak-kanak itu juga mendapat rawatan susulan dari Hospital Sultan Ismail.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan keluarga kanak-kanak berkenaan yang mengatakan kerajaan negeri dan pihak berkuasa seakan-akan melepaskan tangan terhadap nasib Irfan Wafiy, selain turut mendakwa tidak mendapat sebarang bantuan.

Semalam, Irfan Wafiy dilaporkan terbatas pergerakannya setelah disahkan menghidap MyoKimia iaitu sejenis penyakit yang menyebabkan beberapa anggota badan menggeletar. 

Irfan Wafiy merupakan mangsa pencemaran Sungai Kim Kim yang paling lama dirawat di HSI iaitu kira-kira 10 hari.

Terdahulu, ibunya, Norlela Abu Hashim, 45, berkata sejak menjadi mangsa pencemaran tersebut, kehidupan anak keempat daripada lima beradik itu yang dahulunya periang, kini bertukar suram.

Jelasnya, murid darjah enam yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) itu kini masih mendapat rawatan susulan daripada lapan pakar di HSI.

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     

Semua sekolah di Putrajaya dibuka esok

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel