Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Turun had umur mengundi: Pembangkang sokong bersyarat


Tarikh kemaskini: 03/07/2019





KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Anggota Parlimen dari blok pembangkang bersedia menyokong usul kerajaan bagi pindaan Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun sekiranya dua saranan yang dikemukakan mereka, dipenuhi.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, syarat pertama adalah pindaan itu harus merangkumi peruntukan untuk membolehkan warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun didaftar sebagai pemilih secara automatik.

Selaras dengan itu, kerajaan perlu meminda Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan supaya kelayakan menjadi calon pilihan raya turut diturunkan kepada 18 tahun, berbanding 21 tahun pada ketika ini. 

"Sekiranya pihak kerajaan memilih untuk membuat pindaan iaitu warganegara berumur 18 tahun boleh daftar sebagai pengundi secara automatik dan 18 tahun boleh jadi calon, maka kita akan sokong.

"Kalau tak buat kita tak setujulah dengan pindaan yang akan dibentang,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.  

Menurut Ismail, sekiranya dua cadangan itu tidak terkandung dalam pindaan yang dibentangkan kerajaan, Anggota Parlimen pembangkang akan mengemukakan usul persendirian bagi meminda  Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan. 

Usul pindaan Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan itu dijangka dibentangkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman esok (4 Julai) dan sekiranya diluluskan, membolehkan lebih ramai golongan belia dan pelajar institusi pendidikan tinggi layak mengundi pada pilihan raya akan datang.

Pindaan itu memerlukan sokongan dua pertiga atau sekurang-kurangnya 148 daripada 222 Anggota Parlimen untuk diluluskan.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     

Semua sekolah di Putrajaya dibuka esok

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel