Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Saksi terima surat pemaju mengandungi ‘arahan’ daripada Ku Nan


Tarikh kemaskini: 03/07/2019





KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau menerima dua pucuk surat mengandungi ‘arahan’ daripada bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkaitan penjualan tanah kepada sebuah syarikat pemaju.

Saksi pendakwaan ketujuh kes rasuah RM2 juta Tengku Adnan itu berkata, kedua-dua surat bertarikh 26 Ogos 2015 dan 3 Feb 2016 yang diterima daripada Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd itu adalah berkenaan rayuan pengurangan harga tanah dan penangguhan bayaran 10 peratus pertama.

“Surat Aset Kayamas (bertarikh 26 Ogos 2015) mengandungi minit YB (Yang Berhormat) Menteri kepada saya iaitu ‘Ybhg Datuk Bandar, Sila tangguh bayaran 10 peratus selama tiga bulan’. Di dalam surat ini Aset Kayamas membuat rayuan pengurangan harga tanah dan menangguhkan bayaran 10 peratus pertama untuk projek perumahan Dasar Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) iaitu sebanyak RM2,356,240.00.

“Surat ini adalah berkaitan dengan penjualan tanah DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) di atas Lot 53247 dan Lot 53653 kepada Aset Kayamas. Kelulusan penjualan tanah itu kepada Aset Kayamas dibuat oleh YB Menteri Wilayah Persekutuan sebelum saya dilantik menjadi Datuk Bandar Kuala Lumpur,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali.

Beliau memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan kes Tengku Adnan yang didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Saksi berumur 64 tahun itu, yang memegang jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur sehingga 30 Sept 2018 seterusnya berkata, beliau telah ‘meminitkan’ surat berkenaan kepada Pengarah Perancang Ekonomi DBKL Ab Salim Mansor untuk mengambil tindakan seterusnya.

“Tindakan seterusnya bermaksud menulis surat jawapan kepada Aset Kayamas berdasarkan arahan YB Menteri seperti di minit dalam surat Aset Kayamas bertarikh 26 Ogos 2015, di mana pihak DBKL bersetuju untuk melanjutkan tempoh bayaran 10 peratus sebelum atau pada 1 Dis 2015.

“Mengenai pengurangan nilaian tanah, syarikat diminta membuat permohonan semula kepada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Kementerian Kewangan, ini kerana penilaian harga tanah asal memang ditetapkan oleh JPPH dan bukannya DBKL,” katanya.

Mhd Amin Nordin ketika membacakan penyataan saksinya berkata, Aset Kayamas sekali lagi membuat rayuan pengurangan harga tanah melalui surat bertarikh 3 Feb 2016 serta penangguhan bayaran 10 peratus kepada 1 April 2016, dan dalam surat itu terdapat minit daripada Tengku Adnan iaitu “Ybhg Datuk Seri Datuk Bandar, Setuju harga tanah nilai + 10% dan tangguh bayaran sehingga 1/4/16.”

Menurut saksi itu, permohonan oleh Aset Kayamas itu dipertimbangkan oleh pihak DBKL dan diluluskan melalui surat bertarikh 16 Mac 2016.

“Kandungan surat ini menyatakan DBKL bersetuju mengurangkan penambahan peratusan harga jualan dari 20 peratus kepada 10 peratus dan penangguhan bayaran 10 peratus kepada 1 April 2016 berdasarkan arahan YB Menteri seperti di dalam minit YB Menteri,” katanya.

Ditanya Lailawati siapakah yang mempunyai kuasa untuk meluluskan permohonan itu, Mhd Amin Nordin menjawab: “Yang saya tahu menteri boleh arah saya apa juga keputusan tentang permohonan tanah dan saya harus laksana serta patuhi arahan menteri.”

Ketika disoal balas peguam Datuk Tan Hock Chuan, yang mewakili Tengku Adnan, sama ada beliau mengetahui bahawa salah satu alasan menteri mencadangkan penangguhan bayaran seperti dalam minit adalah disebabkan pemaju (Aset Kayamas) telah membawa tawaran yang membawa kebaikan kepada kakitangan DBKL serta menawarkan tanah untuk pembinaan asrama pusat latihan DBKL, saksi itu menjawab beliau mengetahuinya.

“Saya cadangkan kepada kamu, sebab lain menteri cadangkan penangguhan bayaran tersebut ialah disebabkan proses rayuan memakan masa untuk dipertimbangkan,” kata Tan dan saksi itu menjawab” “Yes I am aware (Ya, saya sedar).”

“Setuju atau tidak, DBKL setuju dengan menteri atas alasan pemaju keluar 0.5 ekar (tanah) untuk bina asrama dan pemaju setuju bina 120 unit rumah untuk kakitangan DBKL dengan harga RM150,000 (sebuah),” kata Tan dan saksi itu menjawab setuju.

“Setuju atau tidak kuasa terakhir ialah DBKL, menteri boleh buat cadangan tetapi kuasa (untuk buat keputusan) di tangan Datuk Bandar,” kata Tan.

“Mungkin kuasa di tangan Datuk Bandar tetapi Datuk Bandar tidak berani buat keputusan,” jawab Mhd Amin Nordin.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel