Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Yeo anggap 'serangan peribadi' juga hina profesionalisme pegawai kerajaan kendali isu di Pasir Gudang


Tarikh kemaskini: 03/07/2019





JOHOR BAHRU, 3 Julai (Bernama) -- Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin menyifatkan “serangan peribadi” ke atasnya berhubung isu gangguan kesihatan di Pasir Gudang turut menghina profesionalisme pegawai-pegawai kerajaan yang bertungkus-lumus mencari punca kepada kejadian itu sejak hari pertama lagi.

Yeo berkata dakwaan sesetengah pihak itu merupakan satu pembohongan yang sangat serius dan tidak konstruktif terutama dalam usaha kerajaan persekutuan dan negeri dibantu dengan agensi-agensi berkaitan bekerja keras dalam menangani masalah gangguan kesihatan di kawasan itu.

“Beratus-ratus pegawai kita, (antaranya) dari Jabatan Alam Sekitar, Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Angkatan Pertahanan Awam...untuk dapatkan bacaan siang malam, mereka dapatkan bacaan untuk mencari punca (kejadian). Bagaimana satu menteri boleh kawal semua orang ini bila mereka dapatkan bacaan?

“Ada puluhan pasukan penguatkuasaan, siang malam juga periksa satu kilang demi satu kilang. Kalau ada kesalahan terus ambil tindakan. Bagaimana saya boleh mengawal mereka? Ini adalah satu penghinaan professionalisme pegawai-pegawai kerajaan,” kata beliau kepada pemberita di Menara Aqabah, di sini, petang ini.

Yeo juga menganggap "serangan ini" sebagai "politik yang sangat jelek" dan mengecam pihak berkenaan kerana tidak memberikan penyelesaian yang membina kepada apa sahaja usaha yang dilakukan oleh kerajaan.

“Saya rasa orang yang melontar fitnah sedemikian adalah tidak bermaruah dan saya berasa bahawa tiada tempat untuk mereka dalam politik di Malaysia.

“Saya akan mengambil tindakan yang tegas untuk mencari sesiapa, secara dalam talian yang menyebarkan pembohongan ini dan memastikan bahawa saya akan saman mereka di mahkamah,” kata beliau.

Mengulangi “serangan” ini sebagai satu pembohongan, beliau berkata tindakan undang-undang akan diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab, namun apa yang penting sekarang ialah memastikan kanak-kanak serta komuniti di Pasir Gudang adalah selamat.

Yeo mengulas beberapa dakwaan berkaitan isu Pasir Gudang yang kini kelihatan cenderung mengaitkan peribadi beliau dan pasangannya.

Semalam, Yeo dilaporkan sebagai berkata bahawa beliau  berikrar untuk menyaman mereka di sebalik hantaran dalam media sosial yang  menuduh kononnya suami beliau terlibat dalam skandal pencemaran kedua di Pasir Gudang.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel