Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Beri peluang lebih besar kepada pemimpin muda terajui Saberkas


Tarikh kemaskini: 03/07/2019




KUCHING, 3 Julai (Bernama) -- Anggota Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen mahu pemimpin-pemimpin muda di Sarawak diberi peluang dan peranan lebih besar untuk memimpin Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas).

Justeru, beliau menggesa Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg, yang juga Presiden Saberkas dan timbalannya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah untuk menyerahkan kepada golongan itu peranan kepimpinan dalam pertubuhan belia itu.

"Walaupun kami menghormati peranan dan pengalaman pemimpin yang lebih tua, namun mereka sepatutnya lebih memainkan peranan sebagai pemberi nasihat, menjadi pelengkap kepada kepimpinan yang lebih muda dan segar dalam sesebuah pertubuhan belia, daripada membataskan peluang mereka untuk memainkan peranan lebih besar dalam kepimpinan.

"Malah, dalam pertubuhan besar seperti Saberkas, dengan 130,000 ahli, adalah mustahil untuk mengatakan bahawa mereka sukar untuk mencari seorang pemimpin yang layak dan kompeten dalam kalangan orang muda Sarawak untuk memikul peranan kepemimpinan yang lebih besar," kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Yii berkata beliau juga kecewa dengan kenyataan Abdul Karim bahawa Sarawak tidak akan mencontohi Kerajaan Persekutuan menurunkan definisi kumpulan umur belia dari 15-30 tahun untuk memberi peluang dan platform lebih luas kepada pemimpin muda, malah di Sarawak ini.

Sambil menyangkal justifikasi Abdul Karim, yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, yang mengatakan definisi itu adalah 'konsep Barat', beliau berkata banyak negara Asia juga menerima pakai konsep itu,  termasuk Sri Lanka, Jepun, Hong Kong, Filipina, Indonesia, India dan Vietnam.

Beliau berkata dakwaan seumpama itu memberi isyarat jelas nilai dan keyakinan yang diletakkan para menteri Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada golongan belia termasuk di sini, di Sarawak.

Pendekatan yang diambil Kerajaan Persekutuan itu, katanya adalah selaras dengan hasratnya hendak memperkasakan solongan muda di negara ini di samping memastikan kesinambungan kepimpinan negara, dan mempercepatkan kematangan para belia.

"Untuk memberi peluang kepada golongan belia mengambil alih peranan kepimpinan pada usia yang lebih muda akan memberi mereka peluang untuk berkembang, belajar lebih banyak mengenai tanggungjawab selain untuk memberi idea-idea segar dan kritikal kepada kerajaan dalam hal yang melibatkan mereka.

"Ia akan menggalakkan penglibatan lebih besar golongan belia dalam kegiatan-kegiatan bermanfaat daripada mereka membuang masa terjebak dalam aktiviti-aktiviti sosial yang negatif," tambah beliau.

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     

Ibu mati, anak OKU dijumpai dahaga lapar dalam rumah di Skudai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel