Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

K'jaan negeri komited tingkatkan kesepaduan sosial, bendung isu yang boleh jejas keharmonian


Tarikh kemaskini: 03/07/2019





ISKANDAR PUTERI, 3 Julai (Bernama) -- Kerajaan negeri melalui pelbagai agensi sentiasa berusaha dan komited untuk melaksanakan langkah yang dapat meningkatkan kesepaduan sosial dan membendung isu-isu yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Johor Dr S. Ramakrishnan berkata antara langkah yang telah dilaksanakan pihaknya ialah dengan merangka Pelan Strategik Perpaduan 2017-2020 sebagai kerangka jangka panjang untuk memperkukuhkan perpaduan dan integrasi nasional dalam masyarakat majmuk Malaysia.

“Pelan ini diwujudkan sejajar dengan Rancangan Malaysia Kesebelas bagi memenuhi kehendak pemegang taruh dan pelanggan, berdasarkan persekitaran semasa dan jangkaan akan datang,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor, di sini hari ini.

“Pelan ini menetapkan enam teras utama untuk mendokong ke arah memelihara dan memantapkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat iaitu dengan membudayakan perpaduan, memupuk semangat patriotisme, memperkasakan khidmat komuniti dan lain-lain,” tambahnya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Ayub Jamil (BN-Rengit) yang meminta penjelasan berhubung langkah yang telah disusun kerajaan negeri dalam mengukuhkan perpaduan di Johor.

Ramakrishnan berkata kerajaan negeri juga sentiasa membanyakkan program-program membudayakan perpaduan di peringkat negeri dan daerah, selain daripada menyelesaikan apa-apa pertikaian dan konflik kaum dan agama melibatkan komuniti setempat, melalui pendekatan Mediasi Komuniti.

“Namun demikian, perlu ditekankan bahawa usaha-usaha untuk memupuk hubungan kaum bukanlah merupakan tanggungjawab kerajaan sahaja, malah semua pihak seharusnya memainkan peranan dan berusaha untuk mengekalkan perhubungan yang baik antara semua kaum di negeri ini terutama dalam kalangan generasi muda.

“Usaha-usaha secara berterusan juga hendaklah dilaksanakan kerana dengan adanya kerjasama, sokongan penuh dan usaha padu dari semua pihak maka agenda perpaduan dan integrasi nasional dapat terus diperkukuh,” katanya.

Ketika ditanya lebih lanjut apakah cabaran yang menghalang pihaknya untuk memantapkan hubungan kaum di Johor, Ramakrishnan berkata penyalahgunaan media sosial sebagai medium untuk menyebarkan fitnah dan isu sensitif, adalah antara cabarannya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel