Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jawatankuasa Naib-Naib Canselor bakal bincang isu integriti akademik esok


Tarikh kemaskini: 03/07/2019




KUALA TERENGGANU, 3 Julai (Bernama) -- Jawatankuasa Naib-Naib Canselor/ Rektor Universiti Awam Malaysia (JKNC/R) akan mengusulkan penubuhan Majlis Pegawai Integriti sebagai platform untuk membincangkan isu-isu mengenai integriti akademik di semua universiti awam dalam satu mesyuarat yang diadakan esok.

Pengerusi JKNC/R, Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata JKNC/R berazam untuk terus memerangi isu penunggang percuma (free rider) dan plagiarisme kerana isu seumpama itu hanya akan memberi impak negatif dan mengakibatkan kepincangan integriti serta etika dalam penyelidikan pendidikan tinggi.

"Universiti-universiti awam di Malaysia sentiasa berpegang teguh kepada integriti akademik dengan memastikan semua penerbitan akademik adalah bebas daripada isu plagiat dan penumpang percuma (free rider) kepada mana-mana penerbitan penyelidikan. 

"Semua universiti awam di negara ini mengambil serius  amalan tidak beretika tersebut. Anggota akademik juga bertanggungjawab untuk sentiasa jujur pada setiap masa. Mana-mana laporan dibuat kepada pengurusan tertinggi universiti akan disiasat mengikut peraturan dan prosedur yang berkuatkuasa di universiti berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata universiti awam di Malaysia tidak akan berkompromi dalam apa jua salah laku dalam penulisan penerbitan akademik dan sekiranya terbukti berlakunya salah laku, tindakan tegas akan diambil berdasarkan Akta 605 iaitu Akta Badan-badan  Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000.

Nor Aieni yang juga Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata anggota akademik harus sedar tentang peraturan akademik yang berkuatkuasa di universiti masing-masing seperti Kod Etika Akademik, Polisi Penyelidikan dan Inovasi, Etika Penyelidikan dan lain-lain.

"Peraturan-peraturan ini merupakan panduan mengenai etika penyelidikan dan penerbitan termasuk penerbitan jurnal melibatkan peranan penyelia dan pelajar. 

"Universiti-universiti awam di Malaysia sentiasa mengadakan jerayawara, taklimat serta bengkel yang berkaitan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan berlakunya perbuatan tidak beretika dalam penyelidikan dan penerbitan akademik," katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel