Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dua dipenjara kerana cuba pecah masuk, miliki besi pagar


Tarikh kemaskini: 03/07/2019





KUANTAN, 3 Julai (Bernama) -- Dua lelaki dihukum penjara 10 bulan selepas mengaku salah atas tuduhan cuba memecah masuk rumah dan memiliki 25 batang besi pagar yang gagal dijelaskan kegunaannya, minggu lepas. 

Majistret Nor Azizah Aling memerintahkan supaya Mohamad Nor Amin Khairudin, 32, dan Muhammad Iqmal Nirwan Adam Safian, 21, menjalani hukuman penjara tujuh bulan bagi kesalahan cuba memecah masuk dan tiga bulan bagi kesalahan memiliki besi itu. 

Bagaimanapun, hukuman itu diarah berjalan serentak bermula dari tarikh mereka ditangkap iaitu 26 Jun lepas. 

Bagi tuduhan pertama, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 457/511 Kanun Keseksaan kerana cuba memecah masuk sebuah rumah di Kampung Teluk Mahang di sini, pada 9.10 malam 26 Jun lepas. 

Seksyen 511 memperuntukkan hukuman penjara yang tidak melebihi setengah daripada Seksyen 457, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh dikenakan denda dan jika kesalahan adalah curi, hukuman penjara boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun, jika sabit kesalahan. 

Manakala bagi kesalahan kedua, mereka didakwa mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil kerana memiliki besi pagar itu, yang tidak dapat dijelaskan dengan munasabah di tempat dan masa yang sama. 

Akta itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Fakta kes yang diakui tertuduh menyatakan mereka ditahan oleh orang kampung semasa cuba mengumpil tingkap rumah itu dan pemeriksaan anggota polis ke atas motosikal yang dinaiki mereka menemukan besi pagar itu di bahagian bakul. 

Peguam Nurul Syafiqah Syeba Atan dari Yayasan Bantuan Guaman merayu mahkamah menjatuhkan hukuman penjara paling ringan ke atas kedua-dua tertuduh atas alasan anak guamnya telah insaf. 

"Mereka juga membantu menanggung keluarga yang mana Mohamad Nor Amin bekerja sebagai tukang cuci rumah dengan gaji RM1,500 sebulan manakala Muhammad Iqmal Nirwan memperoleh upah bulanan RM1,000 sebagai pembantu kantin sekolah," katanya. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aiysha Na'ilah Harizan. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel