Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Amaran kepada kontraktor sebabkan gangguan elektrik - SEB


Tarikh kemaskini: 02/07/2019





MIRI, 2 Julai (Bernama) -- Sarawak Energy Berhad (SEB), pembekal tenaga elektrik tunggal di negeri ini, akan mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor yang merosakkan kabel bawah tanah milik SEB yang menyumbang kepada penyebab gangguan elektrik di negeri ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif SEB, Lau Kim Swee berkata antara tindakan yang diambil antaranya kontraktor akan diminta membayar kos bagi kerja-kerja pembaikan kerana merosakkan kemudahan elektrik dan mendakwa mereka di mahkamah di bawah undang-undang berkaitan.

“Kesedaran daripada kontraktor terhadap keselamatan di tapak kerja masih sangat rendah, kami merekodkan lebih 350 kes sejak 2016 akibat kerosakan disebabkan penggalian atau kerja berkaitan pembinaan, dengan kerugian membabitkan RM3 juta sehingga Mac tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata insiden terbaru membabitkan gangguan bekalan elektrik disebabkan kecuaian kontraktor menyebabkan kerosakan kabel bawah tanah berlaku 7.30 malam semalam, ketika kerja-kerja pembinaan tiang dijalankan untuk syarikat telekomunikasi berhampiran pencawang lapangan terbang. 

Katanya ia telah menyebabkan bekalan kuasa terganggu di Lapangan Terbang Miri, kawasan perumahan Taman Tunku dan kawasan sekitar tetapi pasukan teknikal SEB di Miri berjaya menyelesaikan kerosakan itu dalam tempoh 15 minit bagi memastikan bekalan dipulihkan.  

“Bukti daripada siasatan di tapak itu menunjukkan kerja-kerja berkenaan telah merosakkan kabel bawah tanah, menyebabkan pencawang trip,” katanya.

Untuk mengelakkan kejadian seumpama itu, beliau menasihatkan kontraktor untuk memeriksa laluan kabel sebelum memulakan sebarang kerja penggalian dan tidak menganggar sendiri lokasi atau kedalaman kabel bawah tanah.

“Petugas SEB telah mengambil langkah proaktif untuk mengatasi masalah ini dengan melawat tapak pembinaan, menasihati kontraktor untuk memeriksa dahulu sebelum melakukan penggalian, mengeluarkan notis dan peringatan kepada kontraktor sebagai langkah pencegahan dan kami juga turut menjalankan kempen kesedaran melalui media,” katanya.

Beliau berkata kontraktor boleh menghubungi SEB di talian 1300-88-3111 atau e-mel di customercare@sarawakenergy.com.my untuk bantuan memeriksa laluan kabel sebelum kerja penggalian bermula.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Raja Perlis mahu pendakwah saudara baharu sentiasa lengkapkan ilmu

 
     

Profesionalisme pakar patologi negara diyakini

 
     

Polis akan panggil penganjur perhimpunan anti-Lynas

 
     

Bacaan IPU di Sri Aman kekal 'sangat tidak sihat'

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel