Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kanak-kanak lapan tahun hilang di Kuala Besut, Terengganu


Tarikh kemaskini: 02/07/2019





KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan seorang kanak-kanak berumur lapan tahun yang dilapor hilang selepas keluar membeli sarapan di sebuah kedai berhampiran rumahnya di Kampung Gertak Seratus, Kuala Besut, Terengganu, semalam.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad berkata mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Saiful Aiman Mohammad dilihat kali terakhir pada pagi semalam.

Beliau berkata Muhammad Saiful Aiman berketinggian 135 sentimeter dengan berat 35 kilogram, berambut pendek, mata berwarna hitam, kulit hitam manis, berbulu kening halus, mata sepet dan memiliki bibir nipis.

"Kanak-kanak berkenaan kali terakhir dilihat memakai jersi bola sepak Malaysia dengan corak belang kuning hitam dan laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut pada kira-kira 11 malam semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak itu diminta menghubungi Balai Polis Besut di talian 09-6956222, atau Insp Siti Fatimah Mohd Said di talian 013-4579857.

Media tempatan hari ini melaporkan kehilangan Muhammad Saiful Aiman, yang dikatakan tidak hadir ke sekolah dan berseorangan di rumah, setelah dia keluar untuk membeli sarapan kira-kira 9 pagi semalam manakala ibunya Siti Ruziana Sidek, 35, keluar bekerja di tempat memproses ikan di Kampung Pachakan tidak jauh dari kediaman mereka.

Siti Ruziana yang pulang ke rumah kira-kira pukul 4.30 petang semalam mendapati Aiman tiada di rumah dan pada awalnya tidak mengesyaki apa-apa perkara buruk berlaku.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

PRK Kimanis: Pimpinan PH perlu fikir langkah menangi semula hati rakyat - Anwar

 
     

BN kekalkan kerusi Kimanis

 
     

Dr Mahathir mahu Bersatu Kedah kukuhkan parti - Mukhriz

 
     

MB Johor tegaskan Nur Dinie Damia negatif influenza A

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel