Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penerima faedah hilang upaya tekad untuk berniaga


Tarikh kemaskini: 02/07/2019





KUANTAN, 2 Julai (Bernama) -- Muhammad Hanapiah Zainal Abidin yang disahkan hilang upaya kekal pada tahun 2015, berhasrat untuk menggunakan wang faedah yang diterimanya dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini, sebagai modal untuk memulakan perniagaan.

Bekas pekerja swasta berumur 43 tahun dari Kampung Sungai Baging di sini berkata, beliau tidak boleh mengalah kepada takdir, kerana perlu menyara keluarga termasuk empat orang anak yang masih bersekolah, dan faedah hilang upaya kekal berjumlah RM58,000 akan membuka peluang baginya untuk melakar kehidupan baru.

"Saya tidak mampu lagi bekerja seperti dulu kerana sakit belakang dan kaki mudah kejang jika mengangkat benda berat. Wang ini pasti digunakan dengan cermat... tapi yang pasti saya akan mula berniaga secara kecil-kecilan dengan bantuan anak sulung yang berusia 22 tahun,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini. 

Muhammad Hanapiah merupakan seorang daripada enam penerima faedah serta alat bantuan daripada Perkeso di majlis Sambutan Hari Raya di Wisma Perkeso Pahang di sini, hari ini. 

Rohani Idris, 44, guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dari Kampung Chendering yang ditemui di majlis yang sama memberitahu, pencen Perkeso arwah suaminya Roslan Ibrahim, 46, banyak membantu meringankan beban beliau dan tiga anak berusia antara 17 dan 20 tahun. 

Rohani berkata arwah yang bekerja sebagai pemandu lori meninggal dunia enam bulan lalu selepas motosikalnya dilanggar semasa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Pelabuhan Kuantan di sini. 

"Kehilangan suami tidak dapat digambar dengan kata-kata tetapi apa pun kami bersyukur kerana faedah pengurusan jenazah dan pencen bulanan banyak membantu, terutamanya anak kami semuanya masih belajar,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah Perkeso Pahang Tarmizi Mukhtar menasihatkan semua majikan peka akan kepentingan mencarum demi kebajikan pekerja dan waris mereka, sekiranya berlaku perkara tidak diingini. 

"Perkeso sendiri mempunyai Skuad Prihatin Perkeso yang turun ke padang untuk menyediakan bantuan kepada mereka yang layak melalui siasatan dan maklumat yang diterima," katanya.

Tarmizi seterusnya mengingatkan pemandu teksi, e-hailing dan bas persendirian untuk berdaftar dan mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan dan Perkeso sehingga akhir bulan ini, kerana tindakan penguatkuasaan akan bermula pada 1 Ogos ini. 

Mereka yang gagal berbuat demikian akan menanggung kesalahan di bawah Seksyen 11 Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. 

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel