Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

51,459 unit hartanah di Johor masih belum terjual sehingga suku pertama tahun ini


Tarikh kemaskini: 02/07/2019





ISKANDAR PUTERI, 2 Julai (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri Johor diberitahu sebanyak 51,459 unit hartanah di negeri ini masih belum terjual sehingga suku pertama tahun ini, dengan nilai keseluruhan dianggarkan sebanyak RM36.75 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad berkata jumlah itu merangkumi hartanah kediaman, komersil (pejabat kecil pejabat rumah (SOHO)/pangsapuri perkhidmatan) dan industri yang meliputi sama ada siap dibina, dalam pembinaan serta belum dibina.

"SOHO/pangsapuri perkhidmatan merekodkan jumlah tertinggi hartanah tidak terjual dengan sebanyak 30,127 unit yang dianggarkan bernilai RM20.78 bilion, diikuti harta kediaman sebanyak 17,462 unit bernilai RM10.95 bilion,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Yeo Tun Siong (PH-Pekan Nanas) berhubung tindakan Kerajaan Negeri Johor untuk mengatasi masalah lambakan hartanah tidak terjual serta jumlahnya.

Dzulkefly berkata mengikut rekod, Johor Bahru merupakan daerah paling tinggi merekodkan harta tidak terjual iaitu sebanyak 10,892 unit harta kediaman, SOHO/pangsapuri perkhidmatan (30,025 unit), kedai (1,685 unit) dan industri (598 unit).

Beliau berkata bagi harta kediaman, jenis kediaman teres dua atau tiga tingkat merekodkan bilangan harta kediaman tidak terjual tertinggi iaitu sebanyak 6,518 unit bernilai RM3.72 bilion diikuti kondominium/pangsapuri sebanyak 5,643 unit bernilai RM2.64 bilion.

"Rumah teres dua atau tiga tingkat berharga RM1 juta ke atas merupakan kediaman tertinggi tidak terjual manakala bagi kondominium/pangsapuri berharga RM600,000 ke atas," katanya.

Beliau berkata bagi mengatasi isu hartanah kediaman tidak terjual, kerajaan negeri Johor mengambil beberapa tindakan, termasuk pemberian insentif pengecualian duti setem untuk pembelian rumah pertama kali, tanpa mengira sama ada dibeli daripada pemaju perumahan atau pasaran sekunder.

Pada peringkat awal, insentif pengecualian duti setem tersebut berakhir pada bulan lepas, namun, kini dilanjutkan sehingga 31 Dis ini, katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel