Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Yuran RM3.15 juta dikecualikan bagi pembelian hartanah oleh warga asing di Pulau Pinang – Jagdeep


Tarikh kemaskini: 02/07/2019





GEORGE TOWN, 2 Julai (Bernama) -- Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo berkata kerajaan negeri “kehilangan” yuran kelulusan sebanyak RM3.15 juta yang dikecualikan bagi pembelian hartanah oleh warga asing di negeri itu.

Beliau berkata kerajaan negeri menerima 55 permohonan antara 1 Jan hingga 28 Jun, 2019 untuk pengecualian yuran kelulusan sebanyak tiga peratus.

“Sebanyak RM3.15 juta yuran kelulusan yang dikecualikan itu adalah daripada jumlah transaksi hartanah bernilai RM105 juta dengan purata RM1.91 juta bagi setiap pemohon,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Syarat kelulusan bagi pengecualian itu ialah warga asing tidak boleh membeli hartanah bertanah kurang daripada RM3 juta dan tidak kurang daripada RM1 juta bagi unit berstrata atau bertingkat tinggi di Pulau Pinang, manakala tidak kurang daripada RM1 juta dan RM500,000 bagi hartanah bertanah dan hartanah berstrata atau bertingkat tinggi di tanah besar.

Sementara itu, Jagdeep turut menerima surat daripada Pengerusi Persekutuan Hartanah Antarabangsa (FIABCI) Pulau Pinang Tan Sri Alex Ooi Kee Liang yang memohon agar pengecualian yuran kelulusan itu dilanjutkan.

“Hasrat itu disuarakan pada mesyuarat exco lepas yang akan disambung esok,” katanya.

Menurutnya, inisiatif kerajaan negeri mengecualikan yuran kelulusan itu adalah sejajar dengan Kempen Pemilikan Rumah2019 (HOC 2019) dengan kerjasama di antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sabah dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sarawak. 

HOC 2019 memperkenalkan insentif kepada pembeli rumah baharu antaranya pengecualian duti setem dan diskaun sekurang-kurangnya 10 peratus bagi harga jualan daripada pemaju hartanah.

Sebelum ini Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan HOC 2019 akan dilanjutkan untuk tempoh enam bulan lagi sehingga akhir tahun ini bagi menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia serta mengurangkan bilangan rumah yang tidak terjual.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel