Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jabatan Kesihatan Kelantan komited banteras ubat dan kosmetik terlarang


Tarikh kemaskini: 02/07/2019




KOTA BHARU, 2 Julai (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Kelantan komited membanteras ubat dan kosmetik terlarang yang dipasarkan kepada pengguna di negeri ini.

Pengarahnya, Dr Zaini Hussin berkata pihaknya memandang serius pemasaran ubat dan kosmetik yang tidak ada kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari segi bahan yang tidak diiktiraf. 

“Kita mahu masyarakat tahu walaupun harga ubat dan kosmetik terlarang ini harganya murah, namun ia boleh membahayakan pengguna sama ada dalam jangka masa panjang atau pendek,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvesyen Halal Farmaseutikal Kebangsaan 2019 di sini hari ini. 

Hadir sama Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM Dr Ramli Zainal dan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. 

Dr Zaini berkata, penganjuran konvesyen berkenaan dilihat bersesuaian dengan isu terkini dan relevan bagi industri farmaseutikal halal di Malaysia bagi menghasilkan ubat-ubatan halal dan bebas daripada unsur yang meragukan.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata bagi membanteras penularan ubat dan kosmetik terlarang, pihaknya juga turut mengadakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa di negeri ini bagi memastikan produk berkenaan tidak berada di pasaran. 

“Kita di pihak Kementerian Kesihatan sentiasa menyebar luas maklumat dan berharap peniaga jangan hanya melihat pada aspek keuntungan, tetapi keselamatan pengguna juga perlu diberikan perhatian. 

“Ini tanggungjawab kita semua dan pentingnya semua pihak memainkan peranan untuk memastikan tiada permintaan, bukan hanya dibebankan kepada anggota kesihatan sahaja,” katanya.

Katanya, pihaknya juga sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai berkaitan penjualan ubat dan kosmetik yang tidak diiktiraf KKM agar ia dapat dibanteras.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel