Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tanah runtuh bukit kukus : Kontraktor pembinaan berdepan tiga pertuduhan


Tarikh kemaskini: 02/07/2019





GEORGE TOWN, 2 Julai (Bernama) -- Kontraktor projek Pembinaan Jalan Berkembar Paya Terubong di Jalan Bukit Kukus, yang terbabit dalam kejadian tanah runtuh yang mengorbankan sembilan pekerja asing Oktober lepas, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan gagal menyediakan prosedur kerja selamat.

Syarikat Yuta Maju Sdn Bhd yang diwakili pengarah projeknya, Lai Sin Kian, sebagai Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya  di hadapan Hakim  Mazdi Abdul Hamid.

Bagi pertuduhan pertama, syarikat itu didakwa gagal menyediakan prosedur kerja selamat bagi aktiviti mengangkat menggunakan kren bergerak sehingga menyebabkan rasuk jatuh di kawasan yang dalam pembinaan pada jam 8.30 malam, 11 Okt 2018.

Mengikut pertuduhan kedua pula, syarikat itu yang merupakan pengarah projek jalan berkembar tersebut didakwa sebagai majikan telah gagal mengadakan pengiraan kejuruteraan oleh jurutera bertauliah bagi kerja-kerja ‘backfill’ atau menampung tanah untuk cerun sementara sehingga menyebabkan tanah runtuh pada jam 1.48 petang, 19 Okt lepas sehingga mengakibatkan sembilan orang maut.

Bagi pertuduhan terbabit, Yuta Maju didakwa di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang membawa hukuman  denda maksimum  RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Syarikat yang merupakan kontraktor dilantik Majlis Bandaraya Pulau Pinang bagi projek itu turut didakwa sebagai majikan, gagal melantik pegawai keselamatan dan kesihatan yang kompeten di tempat kerja. Pertuduhan itu mengikut Seksyen 29 (2) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Julai depan untuk sebutan kes bagi penyerahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang Norliza Abu Othman manakala syarikat tersebut diwakili peguam S. Kanesh.

Tanah runtuh yang berlaku di tapak projek jalan berkembar Bukit Kukus kendalian MBPP pada 19 Okt tahun lepas meragut nyawa sembilan pekerja asing dan mencederakan empat orang lagi, manakala seorang lagi hilang.

Projek jalan berkembar sebagai jalan penghubung antara Paya Terubong dan Relau dekat sini itu, dijangka siap menjelang Mei 2020.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel