Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Larangan Zon Merah di Kuala Koh akan ditarik balik


Tarikh kemaskini: 02/07/2019





KOTA BHARU, 2 Julai (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Kelantan tidak menolak kemungkinan arahan Zon Merah di perkampungan Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh, Gua Musang akan ditarik balik pada minggu hadapan sekiranya keadaan terkawal dan selamat. 

Pengarahnya, Dr Zaini Hussin berkata perkara ini akan diputuskan sekiranya ia menunjukkan perkembangan kesihatan dan persekitaran yang baik di kawasan berkenaan. 

“Setakat ini pemantauan dari semasa ke semasa di kawasan berkenaan masih giat dijalankan bagi memastikan kesihatan penduduk di sana dalam keadaan yang baik,” katanya kepada pemberita selepas  merasmikan Konvesyen Halal Farmaseutikal Kebangsaan 2019 di sini hari ini. 

Hadir sama Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Dr Ramli Zainal dan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. 

Konvesyen yang julung kali diadakan itu melibatkan seramai 278 peserta daripada pelbagai profesion dari seluruh negara selama tiga hari bermula hari ini. 

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata walaupun dalam tempoh dua minggu ini masih ada satu dua kes yang dimasukkan ke hospital, namun masih belum disahkan sama ada ia jangkitan akibat demam campak (measles) ataupun tidak. 

“Insya-Allah, jika keadaan ini berterusan dalam perkembangan yang baik, kita akan menasihatkan kepada pihak berkuasa untuk menarik balik larangan Zon Merah berkenaan,” katanya. 

Katanya, pihaknya juga telah mula memberi suntikan vaksin kepada penduduk di penempatan kawasan berkenaan bermula semalam, malah di Terengganu dan Pahang turut mengambil langkah sama. 

“Tindakan ini bagi memastikan supaya penduduk yang terjejas mendapat suntikan vaksinasi secara optimum,” katanya. 

Mengulas lanjut mengenai punca penyakit, beliau berkata perkara tersebut tidak boleh dibuat andaian, namun pihaknya akan memberi khidmat dan rawatan yang terbaik bagi memastikan penularan penyakit berkenaan dapat dikawal. 

Pada 12 Jun lepas, kawasan kediaman masyarakat Orang Asli itu diisytiharkan sebagai Zon Merah berdasarkan kepada perbincangan semua pihak termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara.

Ia berikutan kematian 15 Orang Asli di perkampungan itu mulai awal Mei akibat demam campak dan 112 orang lagi menerima rawatan di Hospital Gua Musang, Hospital Kuala Krai dan klinik berhampiran. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel