Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiada kes baharu chikungunya di Kota Setar - Norhizan


Tarikh kemaskini: 02/07/2019




ALOR SETAR, 2 Julai (Bernama) -- Tiada kes baharu Chikungunya yang dilaporkan di Kota Setar sehingga hari ini, kata Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail.

Jjumlah kes yang dicatatkan di dua lokaliti iaitu deretan kedai berhampiran City Plaza kekal 30 kes manakala kes di Simpang Kuala kekal dengan tujuh kes dan menjadikan jumlah keseluruhan 37 kes sehingga semalam.

“Kes terakhir yang dilaporkan di Simpang Kuala adalah pada 26 Jun manakala di City Plaza pada 27 Jun. Jadi tiada pertambahan kes dilaporkan di kedua-dua lokaliti wabak ini dan keadaan kesemua mangsa kes adalah stabil.

“Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar telah meneruskan aktiviti ulangan kawalan vektor di City Plaza di mana pada 30 Jun, sejumlah 434 premis telah dibuat semburan kabus terutamanya di kawasan berlakunya kes,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kawalan yang sama juga dijalankan di Simpang Kuala di mana 281 premis telah diperiksa dan sejumlah 16 kompaun dikeluarkan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 dengan nilai RM8,000 kepada pemilik premis yang membiak Aedes.

Dr Norhizan berkata, PKD Kota Setar masih menjalankan tindakan pencegahan dan kawalan yang melibatkan pengesanan kes secara aktif (ACD), promosi kesihatan kepada penduduk setempat serta melakukan pemeriksaan dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes.

“Orang ramai yang mempunyai gejala demam dan sakit sendi terutama penduduk di kawasan Jalan Tunku Ibrahim sekitar City Plaza dan Simpang Kuala dinasihat agar mendapatkan rawatan lanjut di pusat kesihatan yang berdekatan,” katanya.

Penularan wabak Chikungunya di Kota Setar mula dilaporkan pada 23 Jun lepas apabila 23 individu yang tinggal di deretan rumah kedai berhampiran City Plaza, di sini disyaki menghidapnya selepas mempunyai tanda-tanda demam, sakit sendi yang teruk dan ruam.

Daripada jumlah itu, 15 orang disahkan positif mengalami penyakit itu menerusi hasil ujian darah.

Sehari kemudian, wabak itu dikesan di lokasi kedua iaitu Simpang Kuala di mana empat orang lagi disahkan positif penyakit itu.

Siasatan awal mendapati gejala itu bermula pada 9 Jun lepas di mana kebanyakan pesakit telah mendapatkan rawatan pesakit luar di klinik swasta sekitar Alor Setar.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel