Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Johor terima FDI RM24.036 bilion tahun lepas - Exco


Tarikh kemaskini: 02/07/2019





ISKANDAR PUTERI, 2 Julai (Bernama) -- Jumlah pelaburan langsung asing (FDI) diterima Johor mencatatkan nilai sebanyak RM24.036 bilion tahun lepas berbanding hanya RM5.102 bilion, pada tahun sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menunjukkan angka terbabit meningkat lebih empat kali ganda, sekali gus menempatkan Johor negeri pertama paling cemerlang dalam membawa masuk pelaburan asing.

"Selangor merupakan negeri kedua tertinggi pelaburan asing dengan FDI sebanyak RM10.837 bilion, diikuti Pahang sebanyak RM7.571 bilion.

"Semua data-data ini menunjukkan bahawa pelabur asing mempunyai keyakinan yang cukup tinggi terhadap Johor," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Md Othman Yusof (BN-Kukup) yang bertanyakan jumlah FDI dan negara tertinggi melabur di negeri ini dalam tempoh setahun kebelakangan ini.

Puah berkata mengikut rekod, daripada 18 negara, Indonesia mendominasi FDI di negeri ini tahun lepas dengan sebanyak RM8.46 bilion, yang bertumpu di Pengerang melibatkan industri minyak dan gas.

Beliau berkata ini diikuti Belanda (RM7.57 bilion), China (RM2.84 bilion), Amerika Syarikat (RM2.36 bilion), Singapura (RM864.69 juta) dan Jepun (RM764.58 juta).

Katanya daripada 15 jenis sektor industri terlibat dalam FDI, industri petroleum dan petrokimia muncul sektor tertinggi tahun lepas, bernilai RM11.834 bilion, diikuti elektrik dan elektronik (RM8.315 bilion) serta kimia dan produk kimia (RM2.364 bilion).

Menurut Puah, bagi suku pertama tahun ini, Johor menerima pelaburan dalam bidang perkilangan sebanyak RM2.429 bilion berbanding RM868.09 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

"Walaupun dalam keadaan ekonomi global yang kelihatan lembap dan tidak menentu, kita (Johor) masih lagi mampu berdaya saing dan merekodkan kemasukan pelaburan yang paling tinggi di Malaysia.

"Justeru, kita perlu berusaha lebih gigih dan proaktif supaya dapat mengekalkan momentum ini," katanya.            

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel