Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

YPKDT wujudkan perkhidmatan bantuan guaman untuk wanita alami masalah rumah tangga


Tarikh kemaskini: 02/07/2019





ISKANDAR PUTERI, 2 Julai (Bernama) -- Kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta'zim (YPKDT) mewujudkan perkhidmatan bantuan guaman kepada wanita di negeri ini yang mengalami masalah rumah tangga.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Liow Cai Tung berkata ia bertujuan membantu golongan berkenaan mendapatkan nasihat bantuan guaman secara profesional selain menjalin kerjasama bijak dengan pelbagai agensi, pertubuhan bukan kerajaan dan badan guaman.

"Perkhidmatan ini dijangka dilaksanakan sepenuhnya pada Oktober depan dan YPKDT juga akan menyediakan talian bantuan bagi memudahkan masyarakat mendapatkan perkhidmatan ini.

"Perkhidmatan bantuan guaman ini mendapat kerjasama penuh daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Jabatan Bantuan Guaman dan Jawatankuasa Peguam Negeri Johor.

"Pelbagai khidmat disediakan antaranya kaunseling dan lain-lain perkhidmatan kekeluargaan untuk keluarga Islam dan bukan Islam," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Gan Peck Cheng (PH-Penggaram) berhubung statistik perceraian pasangan Islam dan bukan Islam di Johor serta usaha dilakukan kerajaan negeri dalam membantu golongan berkenaan.

Liow berkata selain perkhidmatan bantuan guaman, YPKDT juga sedang membina Modul Keluarga Sejahtera bagi pasangan bukan Islam dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai langkah menangani perceraian.

"Dengan terhasilnya Modul Keluarga Sejahtera, adalah dicadangkan kepada kerajaan agar setiap pasangan bukan Islam wajib menghadiri dan mendapatkan sijil kursus pra perkahwinan dengan menggunakan modul itu," katanya.

Menurut Liow, berdasarkan statistik dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sebanyak 4,588 kes perceraian pasangan Islam direkodkan di negeri ini pada 2017, iaitu kedua tertinggi selepas Selangor yang mencatatkan 8,898 kes.

Berdasarkan semakan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pula, beliau berkata sebanyak 2,016 kes perceraian melibatkan pasangan bukan Islam direkodkan di negeri ini tahun lepas manakala 438 kes sejak Jan tahun ini hingga kini.

"Berdasarkan statistik tersebut, selain merangka pelbagai program, kerajaan negeri Johor juga masih mengekalkan Program Sakinah Warga Industri yang menekankan isu-isu perceraian meliputi pengurusan tekanan, masalah kewangan dan hukum hakam dalam keluarga," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Wakil jabatan audit mengaku rakam mesyuarat "pinda laporan audit 1MDB"

 
     

Pasukan audit 1MDB terkejut dengar gugur penyata kewangan - Saksi

 
     

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel