Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KPLB Sabah capai enam KPI untuk bangunkan luar bandar


Tarikh kemaskini: 02/07/2019





KOTA KINABALU, 2 Julai (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah berjaya mencapai enam daripada 10 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan pimpinan kerajaan negeri untuk kementerian itu pada tahun ini.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata kejayaan itu menunjukkan sokongan dan kerjasama mantap semua pihak termasuk setiausaha tetap, para pegawai dan pejabat daerah seluruh Sabah.

Katanya enam KPI yang dicapai setakat ini ialah pembinaan dewan komuniti, jambatan gantung, titian dan jambatan kecil, menambah peserta Mini Estet Sejahtera (Mesej), mewujudkan ekopelancongan luar bandar dan melaksanakan serta melatih penduduk luar bandar dalam pelbagai program kemahiran.

“Kita berjaya menganjurkan pelbagai kursus kemahiran termasuk kursus menjahit pakaian tradisional di bawah Program Pembangunan Keusahawanan Desa dan mewujudkan dua ekopelancongan luar bandar iaitu di Mesej Kaingaran Tambunan dan Mesej Kinolosodon Papar di bawah Program Pembangunan Pelancongan Luar Bandar.

“KPLB Sabah juga berjaya mencapai KPI untuk menyediakan kemudahan ameniti sosial berkaitan pusat-pusat komuniti termasuk jambatan gantung, di mana kita diminta menyediakan jumlah tertentu di seluruh Sabah," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Hari Raya dan Kaamatan KPLB Sabah anjuran Kelab Rekreasi KPLB, di sini, malam tadi.

Ewon berkata dari segi pembangunan Mesej, jumlah peserta telah bertambah di tiga Mesej iaitu di Timpangoh Penampang, Tukar Pitas dan Mansalu Ranau yang kini dalam proses untuk menyediakan tempat tinggal kepada para peserta yang akan masuk tahun ini.

Dalam pada itu, beliau juga berharap pucuk pimpinan kerajaan terutamanya Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) menambah peruntukan sedia ada untuk program-program pembangunan luar bandar.

Katanya penambahan peruntukan yang lebih besar itu bukan sahaja dapat membantu mencapai KPI yang ditetapkan tetapi menyediakan kemudahan asas yang diimpi-impikan masyarakat luar bandar selama ini.

Ewon berkata KPLB Sabah juga akan memberi tumpuan kepada lima daerah termiskin iaitu Pitas, Kudat, Kota Marudu, Tongod dan Matunggong termasuk Paitan yang mempunyai bilangan terbanyak ketua isi rumah termiskin dan tersenarai dalam e-kasih.

“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab kepada pembasmian kemiskinan di Sabah, kita akan memberi tumpuan kepada lima daerah ini," kata Ewon.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     

Sultan Nazrin rasmi klinik kesihatan Simpang

 
     

Dua warga emas lari lebih 500km sempena Hari Kebangsaan ke-62

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel