Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis tahan 9 individu, rampas heroin dalam kebun kelapa sawit


Tarikh kemaskini: 02/07/2019





PENDANG, 2 Julai (Bernama) -- Polis menahan sembilan lelaki dan merampas 15.18 gram heroin bernilai RM450 dalam ‘Op Sarang’ di kawasan kebun kelapa sawit Kampung Air Putih di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Pendang DSP Arriz Sham Hamezah berkata, dadah itu dirampas daripada seorang lelaki berumur 21 tahun selepas dia gagal melarikan diri bersama lapan lelaki lain berumur 23 hingga 47 tahun dalam ‘port’ berkenaan.

Katanya, operasi yang bermula pukul 3 petang hingga 7 malam itu dijalankan berdasarkan maklumat awam dan risikan berhubung kegiatan penagihan dan pengedaran dadah di sekitar kawasan berkenaan sejak sebulan lepas.

“Daripada sembilan yang ditahan, lapan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) (Rawatan dan Pemulihan) 1983, manakala seorang lagi disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki 15.8 gram dadah jenis heroin.

“Sebelum itu, suspek yang memiliki dadah itu yang juga seorang penganggur dan masih bujang bertindak melarikan diri ketika serbuan dan mencampakkan satu beg kecil yang disyaki mengandungi dadah sebelum ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Katanya, pemeriksaan pada beg berkenaan menemukan lima peket lutsinar dan dua keratan straw yang berisi serbuk dan ketulan heroin selain alat penimbang dan empat peket plastik kosong.

Tambah Arriz Sham, ujian air kencing mendapati suspek yang berasal dari Pendang itu positif morfin.

"Semakan rekod lampau mendapati suspek pernah diambil tindakan mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan Seksyen 3(1) APD (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Dalam operasi yang sama, pihaknya yang berada berhampiran kawasan operasi turut menahan seorang pejalan kaki lelaki yang membawa satu beg plastik lutsinar mengandungi dua botol air ketum berhampiran rumahnya.

“Lelaki berumur 28 tahun itu turut kami tahan untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana memiliki air ketum,” katanya dan menambah semakan mendapati suspek juga memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     

SPR terpaksa guna pakai persempadanan semula tahun lepas

 
     

Pemanis sokong saranan Anwar Ibrahim semua majlis anjuran kerajaan wajib guna Bahasa Melayu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel