yMQvDUL1x3M Orang asli Kuala Koh mula ambil suntikan vaksin
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Orang asli Kuala Koh mula ambil suntikan vaksin


Tarikh kemaskini: 02/07/2019





GUA MUSANG, 2 Julai (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Daerah Gua Musang memulakan gerakan memberikan suntikan vaksin kepada penduduk Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh dan Aring 5 mulai semalam sebagai langkah pencegahan penularan wabak jangkitan penyakit berjangkit. 

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, setakat ini seramai 204 Orang Asli di dua kampung tersebut menerima suntikan vaksin dan masih ada yang belum menerima suntikan akan berbuat demikian selepas ini. 

Beliau berkata, daripada jumlah itu, ia membabitkan seramai 65 Orang Asli di Kampung Kuala Koh manakala 139 orang lagi penduduk Orang Asli Kampung Aring 5 iaitu kampung yang terletak berjiran dengannya.

Katanya, penduduk Orang Asli yang belum diberi suntikan vaksin kerana mereka masih demam dan ibu mengandung ditangguh dahulu sehingga keadaan mereka kembali sihat atau selepas ibu itu melahirkan anak. 

"Tidak ada masalah ketika gerakan melakukan suntikan vaksin itu kerana semua kaum tersebut memberi kerjasama penuh sehingga selesai," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Suntikan vaksin kepada kaum itu dilakukan susulan kematian 15 Orang Asli di Kampung Kuala Koh mulai awal Mei lepas akibat demam campak dan 112 orang lagi menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) dan klinik berhampiran. 

Hashim Alang berkata, usaha memberi suntikan vaksin itu sebagai langkah awal untuk mengelakkan jangkitan kuman penyakit itu sebagaimana yang disarankan Kementerian Kesihatan. 

Katanya, kaum itu yang dijangkiti penyakit tersebut dan menerima rawatan susulan di HGM dan Hospital Kuala Krai (HKK) masih tidak dibenarkan pulang ke rumah mereka.

"Sebaliknya, mereka dikehendaki tinggal sementara di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Taman Etnobotani di bandar ini sehingga keadaan mereka pulih sepenuhnya," katanya. 

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

PRK Kimanis: Pimpinan PH perlu fikir langkah menangi semula hati rakyat - Anwar

 
     

BN kekalkan kerusi Kimanis

 
     

Dr Mahathir mahu Bersatu Kedah kukuhkan parti - Mukhriz

 
     

MB Johor tegaskan Nur Dinie Damia negatif influenza A

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel