Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Salome bina rumah tradisional Dusun Lotud agar warisan etnik terpelihara


Tarikh kemaskini: 02/07/2019





Oleh Johary Indan

TUARAN, 2 Julai (Bernama) -- Bagi memelihara adat, budaya dan tradisi warisan etnik Dusun Lotud, seorang wanita daripada kaum itu mengambil inisiatif membina rumah tradisional dan memberi peluang kepada mereka yang ingin merasai pengalaman bermalam di rumah itu.

Dikenali sebagai Rumah Tradisional Lotud, ia dibangunkan oleh Salome Dominus, 60, di Kampung Sawah Tamparuli di kawasan seluas 1.6 hektar dan dibuka kepada pengunjung sejak beroperasi pada Januari 2015.

"Saya bangga berjaya menzahirkan hasrat memiliki rumah tradisional Lotud itu, sekali gus dapat membantu generasi sekarang mengenali secara dekat serta memahami warisan adat, budaya dan tradisi nenek moyang mereka," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau percaya ramai generasi muda Lotud tidak pernah melihat, apa lagi menjejakkan kaki ke dalam rumah tradisional etnik itu memandangkan premis seumpama itu tidak lagi wujud.

"Justeru, saya mendapat buah fikiran membina premis itu di atas tanah sendiri di Kampung Sawah, Tamparuli dengan kos lebih RM90,000 sebagai tatapan generasi hari ini," katanya.

Beliau berkata, selain menjadi pusat menjaga adat, budaya dan tradisi Lotud, premis itu turut berfungsi sebagai bahan rujukan kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar.

"Sebelum terbina rumah tradisional Lotud itu, saya terbaca artikel tulisan seorang pelancong asing ingin melihat sebuah rumah tradisional seumpama itu wujud berhampiran laluan ke pusat peranginan di Tuaran, Tamparuli, Kota Belud atau Ranau sebagai tempat persinggahan pelawat," katanya.

Salome berkata, mengambil kira idea itu, beliau mendapat khidmat seorang tukang kayu berpengalaman mendirikan sebuah rumah tradisional Lotud yang siap pembinaan dalam tempoh tiga bulan pada April 2014.

Sebagai tarikan tambahan, beliau turut membina sebuah rumah atas pokok tembusu bernilai RM50,000, menjadikan dua premis boleh dilawati pelancong jika berkunjung ke rumah tradisional Lotud Kampung Sawah.

"Rumah atas pokok itu pula dibina hasil inspirasi selepas menonton program popular televisyen mengenai kepakaran mendirikan rumah pokok, sebelum impian itu dizahirkan di atas pokok tembusu dengan lokasinya bersebelahan rumah tradisional Lotud," katanya.

Beliau berkata, kewujudan dua produk pelancongan unik itu mendapat pujian ramai pelawat, termasuk pelancong asing yang menyifatkan buah fikiran dicetuskan itu luar biasa.

Katanya, antara pelancong asing yang sudah melawat dua produk pelancongan itu ialah dari Sweden, Korea Selatan, Jepun, China, Amerika Syarikat, United Kingdom dan New Zealand.

Sehubungan itu, katanya, selain menerima pelawat, rumah tradisional Lotud juga menerima tempahan mengadakan majlis keramaian di situ seperti hari ulang tahun kelahiran, hari keluarga, mesyuarat dan kegiatan musim cuti sekolah.

Bayaran RM30 seorang untuk satu malam dan terhad kepada lapan pelanggan dalam satu masa, pelawat yang ingin mencari kelainan boleh bermalam di rumah tradisional Lotud itu yang mempunyai anjung, ruang tamu, dapur serta bilik tidur.

Bahagian dalaman pula dihias dengan peralatan seperti alat muzik tradisional gong, kulintangan serta gagayan, manakala dapur pula menyediakan tempurung kelapa dan cawan bambu sebagai ganti pinggan mangkuk moden, menghidupkan lagi suasana tradisional.

Salome berkata selepas menikmati keindahan bermalam di situ, pelawat akan dihidangkan dengan menu tradisional etnik Lotud semasa sarapan.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Aloysious Jounoh usahawan roti tempatan di Tuaran

 
     

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel