Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Anggota polis dikhuatiri lemas ketika cuba selamatkan anak


Tarikh kemaskini: 02/07/2019





MUAR, 1 Julai (Bernama) -- Seorang anggota polis dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan anak lelakinya, yang terjatuh ke dalam Sungai Muar, di jeti berhampiran Istana Tanjung, di sini petang tadi. 

Ketua Polis Daerah Muar, ACP Zaharudin Rasip berkata berdasarkan maklumat yang diterima kira-kira 6.45 petang tadi, Lans Koperal Mohd Fairuz Mohd Hashim, 36, bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar, dikatakan terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan anaknya, Muhammad Faqih Mohd Fairuz berusia tujuh tahun. 

“Bagaimanapun, dipercayai ketika kejadian berlaku air pasang besar dan arus begitu laju, menyebabkan bapa dan anaknya hanyut ke dalam sungai.

“Siasatan awal mendapati mangsa datang ke senteri Istana Tanjung untuk menghantar bungkusan makanan kepada rakannya yang bertugas di istana terbabit,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam ini.

Beliau berkata difahamkan sebelum kejadian Mohd Fairuz datang ke istana tersebut bersama Muhammad Faqih dan dua lagi anaknya yang berusia sembilan dan empat tahun. 

Menurut Zaharudin ketika mangsa menghantar makanan kepada rakannya, tanpa disedari Muhammad Faqih berlari ke jeti dan terjatuh ke sungai, manakala dua lagi anaknya itu selamat.

Katanya, gerakan mencari mangsa dan anaknya dilancarkan membabitkan beberapa pasukan penyelamat termasuk polis marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Kementerian Kesihatan.

Sehingga pukul 11.30 malam ini, operasi mencari belum menemui Mohd Fairuz dan anaknya. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel