Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kediaman rasmi KM Pulau Pinang dijangka boleh diduduki hujung bulan ini


Tarikh kemaskini: 01/07/2019





GEORGE TOWN, 1 Julai (Bernama) -- Kediaman rasmi Ketua Menteri Pulau Pinang di Seri Teratai, Jalan Macalister di sini dijangka boleh diduduki hujung bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri Zairil Khir Johari berkata kerja-kerja membaik pulih kediaman itu kini 85 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya 15 Julai ini.

"Kediaman ini tidak ada orang duduk untuk jangka masa yang lama dan mengalami banyak masalah. Keputusan telah dibuat oleh kerajaan negeri untuk membaik pulih rumah ini supaya ketua menteri boleh pindah balik dan menggunakan kemudahan ini.

Kerja-kerja membaik pulih kediaman Ketua Menteri ini telah bermula dengan tarikh milik tapak pada 14 Jan lepas dan tempoh kontrak adalah selama 26 minggu dengan harga kontrak RM1.05 juta. Semuanya mengikut jadual, maksudnya ketua menteri dah boleh pindah masuk hujung bulan ini," katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke kediaman itu, di sini hari ini.

Beliau berkata masalah utama yang dikenal pasti di kediaman itu adalah masalah anai-anai dan  terdapat dua sarang anai-anai dijumpai di situ.

"Tindakan telah diambil dengan membuat 'tiga lapis pertahanan terhadap anai-anai’ termasuk meletakkan ubat bagi menghalang anai-anai ini pergi ke dinding dan sebagainya. Siling semua kena buat balik, mana-mana lubang juga telah dibaiki. Secara am kesemuanya agak baik dan hampir siap," katanya.

Zairil berkata selain rawatan anai-anai, antara skop kerja lain termasuk menaik taraf keseluruhan tandas dan bilik air; dapur; mengganti permaidani dan kemasan dinding kertas di bangunan kediaman; baik pulih dinding, tiang, pintu, tingkap dan jeriji; bina baharu dan mengecat siling; serta mengecat luar dan dalam bangunan itu.

Bangunan seluas 8,000 kaki persegi itu dibina di zaman kolonial pada tahun 1926 yang terletak di Jalan Macalister berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (P) St George.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menetap di kediaman itu dalam tempoh yang singkat sebelum berpindah ke rumahnya di Jalan Pinhorn, di sini berikutan masalah anai-anai.

Sementara menunggu kerja-kerja baik pulih siap, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berulang alik dari rumahnya di Balik Pulau ke pejabatnya di Komtar.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     

Ibu mati, anak OKU dijumpai dahaga lapar dalam rumah di Skudai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel