Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Mujahid bawa isu keamanan, halal dan haji ke China - Pejabat menteri


Tarikh kemaskini: 01/07/2019





KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Lawatan kerja Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof ke China baru-baru ini antara lain bertujuan membina jaringan kerjasama global Malaysia-China mengenai isu keamanan, agama dan sosioekonomi dan bukan semata-mata untuk melawat etnik Uyghur. 

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu hari ini berkata, lawatan itu telah diluluskan Kabinet serta diberi panduan oleh Kementerian Luar bagi memastikan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China tidak terjejas.

Menurut kenyataan itu lawatan kerja menteri itu bukan semata-mata untuk melawat etnik Uyghur sebaliknya ia merentasi pelbagai aspek termasuk saling bertukar pandangan mengenai isu keamanan, agama dan sosioekonomi di samping berkongsi tentang Model Malaysia berdasarkan gagasan ‘Rahmatan Lil Alamin’.

Ia menyebut Mujahid diberi penghormatan pada 27 Jun untuk bertemu Wang Zuoan, Vice-Minister of United Front Work Department, CPC Committee dan mereka membincangkan pelbagai isu termasuk peluang mengembangkan lagi industri halal Malaysia, pengendalian haji serta isu melibatkan imam-imam di China.

Kenyataan itu menarik perhatian bahawa China mempunyai kira-kira 20 juta penduduk Muslim pelbagai etnik dan mempunyai kira-kira 30,000 masjid dan puluhan ribu imam.

"Justeru, dalam perbincangan antara Mujahid dan timbalan menteri itu turut dibangkitkan bagaimana Malaysia dapat membantu imam dari segi pendidikan bagi memainkan peranan mereka dalam masyarakat di China," menurut kenyataan itu.

Mujahid, jelasnya, turut menegaskan dalam pertemuan itu tentang pendirian berhubung kebebasan beragama dan menghormati hak seseorang rakyat untuk beragama.

Menteri itu juga diberi peluang untuk menyampaikan syarahan bertajuk “Towards A Peaceful and Harmonious World” (Ke Arah Dunia Yang Aman Dan Harmoni) di Beijing Foreign Studies University, tambah kenyataan itu.

Sepanjang lawatan beliau dari 23 hingga 30 Jun itu, Mujahid diiringi Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta para pegawai Kementerian Luar.

"Ini merupakan pertama kali bagi seorang menteri dari Malaysia bercakap tentang isu agama kepada wakil China dan maklum balas yang diterima sangat positif," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, menteri itu juga menyangkal berita yang dilaporkan oleh sebuah portal berita tempatan bertarikh 28 Jun dan menegaskan bahawa laporan yang ditulis portal berkenaan berdasarkan teks ucapan syarahan menteri berkenaan sebagai ‘amat mengelirukan, tidak tepat serta tidak menggambarkan keseluruhan ucapan’, tambah kenyataan itu.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     

Jangan jadikan tahfiz pusat pemulihan akhlak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel