Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Melaka peruntuk RM137,650 bagi pelajar, sekolah cemerlang 2018


Tarikh kemaskini: 01/07/2019




MELAKA, 1 Julai (Bernama) -- Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM137,650 bagi sekolah dan pelajar cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), tahun lepas. 

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata peruntukan itu melibatkan RM127,150 bagi 683 pelajar yang menerima antara RM100 dan RM500 seorang, manakala sebanyak RM10,500 diperuntukkan untuk lapan sekolah yang menerima antara RM1,000 dan RM1,500 bagi setiap sekolah. 

"Anugerah ini bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri bagi memberi suntikan motivasi kepada pelajar agar mengekalkan momentum kecemerlangan dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan juga sahsiah diri. 

"Sebagai peneraju dan pemimpin pada masa hadapan, mereka perlu berjiwa besar dan sentiasa berfikir di luar kotak serta celik Revolusi Industri 4.0 agar terus berdaya saing," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah berkenaan di Ayer Keroh di sini hari ini. 

Turut hadir Exco Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi Melaka Noor Effandi Ahmad, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka Datuk Abu Bakar Sahari dan Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) Azrin Ab Majid.

Dalam pada itu, seorang pelajar cemerlang STPM, P. Theebhashini, 20, berkata azam yang tinggi untuk membuktikan bahawa pelajar STPM juga setanding dengan institusi lain ternyata membuahkan hasil apabila dia berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0. 

Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata meskipun masyarakat sering dimomokkan bahawa STPM merupakan peperiksaan yang sukar, namun perkara itu membakar semangatnya untuk memperoleh kecemerlangan.

"Saya juga ada mendapat pelbagai tawaran untuk menyambung pengajian selepas SPM termasuk matrikulasi, namun memilih STPM untuk mencabar diri dan ternyata ini semua berbaloi," kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Talib Karim, Alor Gajah dekat sini. 

Anak kepada pasangan K. Parasuraman, 53, yang merupakan pemandu lori dan M. Nagama, 50, penoreh getah ini turut berhasrat untuk mengubah nasib keluarganya suatu hari nanti.

Sementara itu, Azrin berkata TAPEM telah menutup sementara permohonan secara dalam talian untuk pinjaman pengajian tinggi sejak semalam bagi membolehkan pihaknya membuat semakan dan kelulusan permohonan pinjaman bagi enam bulan pertama, tahun ini.

Beliau berkata ini memandangkan permohonan berkenaan boleh dilakukan sebanyak dua kali setahun yang mana permohonan baharu bermula hari ini.

"Setakat ini, kira-kira 200 permohonan telah diterima daripada pelajar institut pengajian tinggi dan sedang diproses sebelum pinjaman tersebut diluluskan mengikut kriteria yang ditetapkan," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel